June 24, 2009

Kahwin Kahwin Kahwin

Sumber: Di Sini

Topik hari ini berkisar perkataan di atas. Kenapa nak bercerita tentang kahwin? Adakah Cik Kay hendak berkahwin? Atau adakah Cik Kay menerima begitu banyak jemputan perkahwinan walaupun cuti sekolah telah berlalu? Erm semua itu bukan menjadi persoalannya. Perkataan ini sering berlegar di kepala sejak 2 minggu yang lalu. Kahwin kahwin kahwin. Sampai ke tanah ini, kahwin juga kata-kata yang terpacul di bibir orang. Berjumpa dengan orang yang dah lama tak jumpa, perkataan kahwin juga tetap menjadi bahan bicara. Itu belum lagi kalau dicampurkan dengan keadaan yang mana ramai kaum-kaum ibu yang galak berbicara tentang alam perkahwinan.

Ok, Cik Kay bukan orang yang anti perkahwinan. Bagi Cik Kay, majlis perkahwinan itu sungguh indah di mana suasana kemeriahan bersama sanak saudara menjadi satu majlis pengikat kemesraan antara satu sama lain. Dah sudah tentu majlis ini bertambah dengan pasangan pengantin yang menyatu kasih ke arah yang lebih diredhai. Cik Kay sungguh sukakan keasyikkan melayan mata melihat segala macam gubahan dan juga busana serta tata rias yang dikenakan oleh pengantin. Semua itu Cik Kay sungguh suka.

Sebenarnya apa yang Cik Kay hendak sampaikan di sini adalah buat masa ini, perkataan ini tiada dalam kamusku lagi. Perkahwinan adalah satu tugas besar bagi seorang lelaki untuk memikul tanggungjawab dari pelbagai segi. Ya, sungguh bahagia bila kasih sudah bersatu bersama pasangan kita. Itu rezeki bagi yang sudah bertemu jodohnya. Bagaimana dengan nasib mereka yang tidak jumpa separuh hatinya di mana-mana. Mungkin separuh hatinya berada di Angola, atau mungkin separuh hatinya berada di Mongolia dan mugkin juga hati yang dicarinya berada di Alaska. Ramai orang menasihatkan orang yang masih keseorangan untuk mencari separuh hati itu kenalah disertai dengan usaha. Bukan duduk bergoyang kaki dan menunggu jodoh di sudut-sudut persimpangan jalan.

Bagi yang tidak berjumpa teman sejiwanya, sungguh kasihan kan! Tapi bagi Cik Kay, salahkah kita jika memilih untuk terus hidup keseorangan. Cik Kay tahu orang akan membuat pelbagai spekulasi yang kurang enak. Kalau hendak disenaraikan segala spekulasi yang mungkin terjadi sungguh banyak. Namun begitu mengapa kita tidak dapat membuat andaian yang lebih positif serta mendoakan kawan-kawan kita yang masih keseorangan itu bertemu jodohnya. Ini tidak, selalu cacian yang terungkap di bibir-bibir indah diselaputi warna indah pemerah bibir.

Cik Kay pernah mengungkapkan kata hati Cik Kay yang tidak mahu berkahwin. Ketika itu Cik Kay masih belum dapat membayangkan perkara itu bakal berlaku dalam hidup ini. Kata orang tua ku, ”Jimat 10 ribu aku!”. Erm betul juga katanya. Agak-agak kalau Cik Kay buat pinjaman sebanyak itu untuk buat perniagaan boleh ke? Hehehe. SUDAH! Hentikan angan-angan itu. Ketika ini, situasinya masih sama. Cik Kay masih kelam bila mencari perkataan ini di dalam kamus kehidupan. Kehidupan yang dijalani ini masih tunggang langgang rasanya. Banyak keperluan lain harus diutamakan. Masih ada cita-cita yang tersemat dalam hati untuk dikecapi.

Jadi apa yang hendak Cik Kay sampaikan kepada pihak-pihak yang berkenaan, sudah-sudah la hajat-hajat anda yang beria nak kenen-kenenkan Cik Kay dengan segala kaum yang ada di tanah ini. Kadang-kala kata-kata itu satu doa. Jadi Cik Kay berdoa pada Ilahi semoga kata-kata itu tidak menjadi kenyataan. Sebabnya kalau nak cari, Cik Kay mencari seorang insan yang boleh menerima Cik Kay seadanya. Perkahwinan adalah satu kehidupan untuk sepanjang hayat. Tak mahu lah baru kahwin, tau tau dah masuk Kes Syariah kat TV. Kebahagian itu hak setiap insan. Jadi kalau hidup keseorangan pon masih berhak untuk bahagia bukan? =)

p/s: Buat masa ni boleh la kata tak nak kan. Kalau tetiba dapat kad undangan tu datang la memeriahkan majlis. Mana la tahu kot-kot esok pagi pegi pejabat tetiba jatuh hati dengan Angie ke, Akak Cantik ke, Cik El yang macam Tuan Zet gila-gilakan ke. Hidup...tiada siapa tahu apa yang bakal terjadi...... Tetiba terberangan nak jadi macam Carrie Bradshaw yang ala ala single gituh. hahahaha

June 23, 2009

Sedih lagi menyedihkan...

Ok, Semalam entah mengapa sedihku berpanjangan. Semua ni gara-gara lagu yang sengal membuatkan hati ni sayu. Ok, ni kali pertama hati rasa sayu sesayu sayu bagaikan bunga yang sudah layu. Erm tetiba terkenangkan bunga-bunga konvo yang ku gantung dalam bilik di tanah seberang. Mesti dah layu kan. Lupakan bunga-bunga itu. Oh hati, mengapa kenapa dan bagaimana hati ni menjadi sedih?

Lupakan kesedihan itu. Demi mengubati kesedihan hati, ku bawa diri ke pasaraya 'Gergasi'. Terkenang semasa suatu ketika dulu kalau kesedihan melanda, akanku menelefon Aneng Jelita mengajak dia berjalan-jalan di segala pasaraya yang ada di Shah Alam. Namakan pasaraya yang tak pernah kami masuk. Erm.... rasanya semua pasaraya telah kami jejak lalu meninggalkan tapak-tapak kenangan. Hati ini tetiba terasa rindukan semua yang disayangi. Kupujuk hati jangan rindu merindu. Biarkan saja perasaan ini berlalu.

Tapi nak suruh perasaan ini berlalu susah jugak. Ubatnya, kena la tawaf pasaraya 'Gergasi' sebanyak tujuh kali. Puas belek barang itu ini. Konon-konon untuk kali kelima datang ke pasaraya ni nak beli berus sabut atau berus yang sewaktu dengannya untuk membasuh baju. Kaedahnya tak ada jugak! Terus lagi tawaf mencari barang yang boleh mengubati kesedihan. Akhirnya ku bawa diri ke kaunter bersama skrub muka bersama nata de coco dan juga jus epal. Lega juga hati ini akhirnya. Ku tersenyum lalu membawa diri....

p/s: Balek rumah je elektrik tak da. Tak tau nak buat apa terus melayan ke awangan je. Sedar-sedar dalam jam 1 pagi baru elektrik ada.

June 22, 2009

Surat Khabar, La la la, dan Idolaku

Hari minggu yang baru berlalu agak menyeronokkan bagi diri Cik Kay. Cik Kay sempat melalui 2 pengalaman yang berbeza. Ada yang agak menyeramkan dan ada yang agak menghiburkan. Bagi yang agak seram itu, baik dilupankan dan tidak perlu dikenangkan. Cik Kay lebih berselera hendak berkongsi detik-detik manis (manis ke kaedahnya?). Bukankah itu lebih membahagiakan? Terpulang pada diri masing-masing.

Pada hari yang pertama, Cik Kay keluar berjalan-jalan dengan 2 orang budak comel yang masih belum mengenal pahit manis dunia. Dari rumah kami bergerak ke sekolah untuk mengambil keputusan peperiksaan si kakak. Kemudian kami menuju ke kedai mamak. Walaupun Cik Kay sudah bersarapan, lambaian kedai mamak begitu kuat bermain di mana dan di perut. Mungkin Cik Kay sudah lama tidak merasa kenikmatan makanan mamak. Menggunakan alasan si adik yang belum sarapan, kami bertiga menjamu menu wajib di sana. Sebelum itu, Cik Kay terlompat kegembiraan (bukan melompat secara fizikal) bila terpandang Berita Harian! Oh! Begitu lama rasanya diri ini tidak ketemu surat khabar dari tanah seberang. Walaupun bukan Kosmo, yang ini pon jadilah. Ye, Cik Kay tahu kamu sekalian mesti kata dalam talian kan ada surat khabar. Bagi Cik Kay, Cik Kay lebih gemarkan perasaan menyelak helaian muka surat akhbar. Jangan tanya mengapa, perasaan itu sudah sebati dalam jiwa. Dan pada satu ketika, hati ini sayu mengenangkan Along, Angah dan Adik. Terasa kerinduan pada kenakalan dan kecomelan mereka. Dipujuk hati ini supaya terhapuskan segala perasaan yang mengganggu jiwa ini.

Pagi hari kedua menjelma seindah seperti biasa. Terfikir apa yang hendak dibuat. Hati meronta-ronta untuk berjalan-jalan menikmati alam ini. Daripada terperap di dalam dinding bersegi ini, lebih baik melayan suria bersama bayu di tepi laut. Bagaikan memahami kata hati, tetiba Cik Kay terima mesej daripada Cik Zet. Walaupun ketika itu Cik Kay masih separuh sedar, dilayannya mesej yang membawa kaki ini melangkah keluar dari bumbung tempat berlindung. Walaupun hajat Cik Zet tidak kesampaian, kami mengisi hari dengan menjelajah muka bumi yang masih belum kami jejaki. Dalam bangunan yang sejuk itu, Cik Zet mengajak Cik Kay untuk sesi me’nyumbang’kan suara. Mahu Cik Kay gelakkan sahaja hajatnya. Gelak kerana Cik Kay memang tak pandai berla la la. Ketika ini Cik Kay teringatkan kenangan bersama Cik Aneng Jelita. Kami selalu menjalankan sesi ini dalam ’bilik jamban’. Cik Zet beria menyanyi, Cik Kay beria tergelakkan diri sendiri yang tidak pandai mengikut irama. Tidak mengapa, sekurang-kurangnya hari ini Cik Kay gembira dengan aktiviti kami. Terima kasih Cik Zet! Lain kali sila pilih ’Lagu Untukmu’ tu sebagai acara penutup. Hihihihi.

Malam tadi ketika menonton kotak bergambar, Cik Kay geli hati mengenangkan satu peristiwa kira-kira 3 tahun sudah. Ketika itu Cik Kay tekun menumpu perhatian pada kuliah yang ada. Cuba memahami kembali segala formula kimia yang bertaburan di papan putih. Dalam kerancakan sesi penjelasan formula pada hari itu, tiba-tiba,

”Awak nak pergi dinner ke?”

Semua yang dalam kelas terpinga-pinga dengan soalan Puan Fazni. Dengan siapakah Puan Fazni kemukakan soalan tu. Cik Kay melihat Puan Fazni dan terus tidak hiraukan soalan dia. Sekali lagi dia bertanyakan soalan yang sama dan menujukan kepada Cik Kay. Cik Kay terasa hendak menggarukan kepala kerana bukankah dia sudah tahu dinner sudah berlalu. Rupanya baju melayu ’hebat’ Cik Kay mengundang persoalan yang spontan itu. Dengan menjawab tidak Cik Kay terus melipat lengan baju melayu tu. Puan Fazni terus bertanyakan kenapa baju Cik Kay sungguh hebat lagi berkilat-kilat siap ada manik-manik. Dia kata Cik Kay nak jadi Datuk M.Daud Kilau ke. Dengan spontan lagi penuh keyakinan Cik Kay menjawab, M.Daud Kilau memang idola Cik Kay. Satu kelas gelakkan jawapan Cik Kay. Puan Fazni masih tak puas hati. Dia hendak kepastian yang nyata, Cik Kay dengan muka kering menjawab bersungguh-sungguh bagi tahu M Daud Kilau memang idolaku! Hihihi. Kesian Puan Fazni, terkesima dengan jawapan Cik Kay. Hehehe. Ok, yang boleh terkenangkan cerita ni sebab malam tadi ternampak M Daud Kilau bergelek dalam TV. =D

June 19, 2009

Tie Oh Tie!


Kenapa kita sebagai manusia kadang kala harus memakai tali leher? Mengapa tali leher diciptakan sebagai salah satu hiasan pada pakaian lelaki? Kadang kala terasa macam lembu yang terjerut pada lehernya dengan tali supaya tidak bebas ke sana dan ke sini. Tetapi tali di leher ini bukanlah ditambat di mana-mana. Kita sebagai manusia masih boleh ke mana saja walau 'tali' ini terjerut di situ. Jadi apa penyelesaian pada masalah tali ini? Orang sini bilang "Tiada". Oleh sebab itu pasrahlah dengan segala ketetapan yang telah dibuat. Itulah luahan orang yang kurang gemar bertali 'di' leher.

Sebenarnya dalam sejarah hidup Cik Kay, tali ini lah yang paling Cik Kay kurang gemar. Kalau Cik Kay cerita, ramai yang tak percaya. Tak apa lah. Nak buat macam mana. Tapi itulah hakikatnya. Pertama kali memakai tali yang berwarna hijau dihiasi lencana sekolah di hujungnya, Cik Kay terkial-kial untuk menyempurnakan. Misi gagal! Tetapi orang yang Cik Kay kasihi akan pasti menolong mengikatnya di leher ini. Itu kisah kira-kira 18 tahun dahulu. (Wah! Rasa sungguh tua! huhuhu. Kena la terima hakikat sebenarnya...). Walaupun ketika itu Cik Kay harus sentiasa memakai tali hijau itu, Cik Kay masih tidak pandai menggunakannya.

10 tahun dahulu ketika berada di satu daerah di mana manusia-manusia yang ada baru hendak mengenal erti kebebasan dan dunia yang sebenarnya, Cik Kay turut sama bergembira bersama mereka. Cuma yang tidak menggembirakan bila tiba masa memakai benda yang sama. Mujur ada teman yang begitu dedikasi untuk mengikatkan kain berwarna biru bersama lambang merah sebelum waktu tidur. Terima kasih temanku! Tanpa dikau, Cik Kay pasti tidak bertali leher.

7 tahun lalu,
6 tahun lalu,
5 tahun lalu,
4 tahun lalu,
3 tahun lalu,
2 tahun lalu
setahun juga terus berlalu,

Cik Kay masih seperti dulu. Masih terkial-kial menyempurnakan rutin yang sama. Bukan tidak pernah belajar bagaimana hendak membentuk tali itu sebelum sangkut di leher. Puas belajar. Ketika itu Cik Kay rasakan itulah benda yang paling sukar untuk Cik Kay lakukan. Nota "Bagaimana Mengikat Tali Leher" sering menjadi bahan salinan di mesin Fotostat. Namun bila tangan ini bertemu tali leher, hasilnya tidak pernah membanggakan! Lantaran kecewa dengan 'bakat' yang ada, Cik Kay berhenti berharap. Mungkin leher ini bukan jodoh dengan talinya. Jadi siapa yang menjadi 'tukang' ikat? Erm, ramai! Hehehe. Berbekalkan muka yang secomelnya, dan kata-kata semanisnya, pasti ada yang sudi. =D

2 bulan yang lalu....

Ketika itu Cik Kay terdesak untuk mengikat tali ini demi masa depan. Hendak meminta pertolongan orang yang Cik Kay kasihi, semestinya Cik Kay segan. Tidak mahu peristiwa 18 tahun dahulu berulang lagi. Buntu dengan tindakan yang harus diambil. Tetiba Cik Kay teringat. Kan dunia sekarang di hujung jari! Ditaipnya 3 huruf di TiubKamu, Nah! Banyak tutorial yang ada!. Dengan senyuman yang lebar dah geli hati yang teramat, Cik Kay ikuti satu per satu cara yang ditunjuk. Akhirnya buat kali pertama dalam hidup, tangan ini menyempurnakan tali di leher ini. Memang Cik Kay gelak. Gelak kerana kebodohan yang Cik Kay hadapi. Tapi itu semua tidak mengapa. Yang penting leher ini sudah bertemu jodoh dengan tali. Cuma Cik Kay berharap leher ini tidak akan sama sekali ke tali gantung! Bak kata orang sini, palis-palis...! (a.k.a mintak simpang la ye).

p/s: Erm kalau masa di UiTM di hatiku, pernah la ye tali leher itu tersimpul rapi sepanjang semester! hehehehehe.



June 15, 2009

Bebaskan...

Seletah melalui minggu pertama buat kali kedua di tanah ini, Cik Kay masih mencari-cari emosi yang sebenar. Cik Kay masih terfikir adakah aku memenjara segala perasaan yang sebelum ini membelenggu jiwa ini? Cik Kay tidak pasti dengan apa yang aku rasa. Yang Cik Kay tahu, Cik Kay rasa Cik Kay boleh menyesuaikan diri dengan sekeliling Cik Kay. Mungkin ini berkat kali kedua berada di tanah ini. Walaupun ruang antara waktu itu sedekad lamanya dan juga fasa kehidupan yang berbeza, semuanya bagai tiada bezanya. Sungguh menghairankan lidah ini lancar sungguh bertutur ala-ala bahasa setempat. Ramai yang kagum dengan kebolehan yang bukan kali pertama ini. =) 

Kadang kala Cik Kay ingin sungguh bertutur seperti mana yang selalu bermain dibibir ini. Tetapi slanga itu tetap juga hadir. Tidak mengapa. Itu semua ada hikmahnya. Kepada seorang rakan yang baru Cik Kay kenali, terima kasih kerana melayan Cik Kay seadanya. Cik Kay rasa tidak canggung berada dengan dia. Rasanya bagaikan sudah lama kita berkenalan walau pada hakikatnya kita baru meniti hari-hari yang boleh dihitung dengan jari. Cik Kay berharap kita akan dapat menjalani hari-hari yang mendatang dengan pelbagai nostalgia untuk dipahat di dalam ingatan ini. 

Kembali ke tanah ini juga membuatkan Cik Kay rindu zaman persekolahan yang macam-macam ragamnya. Antara kenangan yang hadir kembali ketika menikmati  Mee Kicap! Walau pada hakikatnya mee itu dipanggil Mee Goreng. Pada Cik Kay ia tetap Mee Kicap! Hihihi. Walaupon hanya digoreng bersama kicap dan dinikmati bersama ala ala sambal (walaupun dibuat daripada cili dan ada rasa sedikit seperti ada cuka, ia tetap tidak pedas), Cik Kay tetap menjamu selera dengan seadanya. Teringat satu ketika dahulu Cik Kay menikmati hidangan yang sama di dalam kelas. Mee yang dibungkus dalam plastik empat segi ditolak sedikit demi sedikit ke dalam mulut. Huhuhu nostalgia mee kicap kembali dalam ingatan dan membuat Cik Kay tersenyum sendirian. Buat ketika ini Cik Kay masih menikmati sarapan bersendirian. Di masa hadapan Cik Kay berharap Cik Kay akan ada teman untuk makan bersama. 

Ada satu keadaan yang masih Cik Kay cuba menyesuaikan diri. Cik Kay masih canggung dengan peredaran waktu di sini. Walaupon pada dasarnya waktu ini mengikut standard satu negara, pada hakikatnya badan ini masih tidak dapat menerimanya. Hati masih ragu-ragu kenapa begitu awal sang mentari memancarkan sinarnya. Begitu jua ketika kegelapan yang menyelubungi bumi. Diri ini masih terasa tidak puas bercanda bersama mentari. Bila waktu malam, waktu terasa begitu lambat untuk berlalu. Moga satu hari nanti badan dan akal fikiran Cik Kay dapat menerima semuanya. 

Oh begitu banyak hendak diperkatakan. Namun Cik Kay harap Cik Kay akan terus bercerita lagi di masa hadapan. Jangan rindu Cik Kay! =)

 

June 9, 2009

Nanti la Ye!

Erm... baru 2 hari masuk keje. Apa yang Cik Kay rasa?

1. Masa bertolak dari Pulau 'Mutiara' itu tak de sedih. Masa sampai K.K pon tak de la gembira mana pon. Mungkin perasaan mengantuk melebihi segalanya. Mana tak mengantuk, malam sebelum nak bertolak tu tidoq dalam 2 jam setengah je. Oleh sebab itu perasaan itu jadi biasa je. hihihi.

2. Erm tumpang rumah orang, memang la tak berapa selesa. Tapi buat sementara waktu ni layan je. Lepas tu melayan budak-budak yang banyak cakap dekat rumah ni pon meletihkan jugak. Biasa la budak-budak. Kalau boleh semua benda nak tanya. Dari lapangan terbang, sampai rumah, sampai nak tido, sampai dah balek keje pon masih ada je soalan-soalan yang hendak ditanya. Cik Kay layankan je yang boleh. Selagi boleh la ye. Kalau dah bosan Cik Kay buat-buat tido. hahahaha. Bengang je budak-budak tu. Tak puas hati sebab 'Pak Lang' tak jawab soalan diorang.

3. Keje? Erm buat masa sekarang ni Bos pon tak ada. Bos cuti. Jadi tak tau nak buat apa la sangat. Cuma setakat tolong kawan seperjuangan buat kerja-kerja dia. Ye la, Cik Kay datang lambat. Jadi kena la ringankan beban dia. Tempat? Meja pon main tumpang dulu. Tak pe la. Esok-esok ada la meja tu.

4. Erm, rasa tak seronok sebab tak da kamera atau telepon berkamera. Jadi tak boleh la ye nak tangkap-tangkap gambaq. huhuhu.

5. Cik Kay dah kawen! Hahahaha padan muka diorang yang konon-konon mau 'pasang-pasang'kan Cik Kay dengan orang kat sini. Tengok jari berinai terus diorang kata ooo sudah kawen ka kamu. Cik Kay senyum je. Hehehehe =D

6. Cik Kay RINDU LA kat MukaBuku! Kat sini tak boleh nak bukak! Nasib baik yang ni dan Kawanster boleh bukak. Tapi Cik Kay MASIH RINDUKAN MUKABUKU!!!!! Erm menyesal la pulak tak beli broadband kat sana. Kat sini boleh tahan mahal. Jadi ada sesiapa bermurah hati nak tolong belikan? (^_^)

7. Buat masa ni semua kat sini ok. Semalam baru masuk keja dah dapat surat kena 'bekerja di luar daerah'. Hehehehe. Semalam jugak terkial-kial tolong Senior taipkan surat. Hahahaha menaip surat macam apa je. Redha je la. 

8. Oklah nanti Cik Kay sambung lagi. Macam-macam nak cerita tapi tak da hati sebab Cik Kay NAK JUGAK BUKAK MukaBuku Cik Kay! Kawan-kawan! Tolong tinggalkan pesan kat MukaBuku Cik Kay yang Cik Kay tak dapat nak bukak MukaBukuku! huhuhu (T_T)

~Sampai Ketemu Lagi~










June 7, 2009

Ke Seberang Laut: KayKay ke K.K


Dania! Tunggu Cik Kay di lapangan terbang ya! Ku ingin terbang tinggi di awan. Tapi bukan bersama bintang mahu pun bersama bulan. Mahu terbang bersama sinaran mentari waktu pagi la ye. Boleh la nak serap vitamin D dalam kapal terbang nanti. Dah lama rasanya kulit ni tak kena mentari pagi. Hihihi. Faham-faham sendiri.

Walaupon agak berat membuat keputusan, tidak salah kalau kita mencuba sesuatu yang baru dalam hidup. Lagi pon destinasi yang dituju bukanlah asing dalam hidup Cik Kay. Setelah 10 tahun meninggalkan tanah air itu, kini Cik Kay akan kembali dengan fasa hidup yang baru. Semoga semuanya akan berjalan dengan seadanya. Kawan-kawanku, sudah-sudahlah hantar mesej yang syahdu-syahdan. Cik Kay pergi demi tuntutan hutang PTPTN yang keliling pinggang. Kalau Cik Kay tak pergi, sudi ke korang nak bayarkan hutang PTPTN Cik Kay itu? Hihihihi. Doakan kesejahteraan Cik Kay di sana ye!

Dalam masa yang sama, Cik Kay terbayang-bayang di mata wajah Tinot Lee, Zeli, Johnny, Anney, Diana Gaban dan Ila Si Raksasa Ngiow. Bila ada masa, Cik Kay nak melawat diorang! Korang, jangan segan-segan nak jumpa Cik Kay. Cik Kay teringin ye nak jumpa korang semua. Kali ni termakbul la doa Zeli yang selalu suruh Cik Kay ke sana. Boleh kita buat 'reunion' 5 Inovatif! =D

P/s: Oleh sebab penghijrahan Kaykay ke K.K, mungkin Cik Kay akan kurang menaip di sini mahu pon di MukaBuku. Jadi jangan rindu-merindu pulak ye.

Ikhlas,

June 6, 2009

Sidang Ke Duabelas

Salam,
Aku agak kepenatan untuk menaip kata-kata indah untuk dijadikan bahan bacaan pada hari ini. Hanya ini aku mampu berikan untuk pengganti bicara. Untuk gambar yang lebih banyak, sila lawati MukaBuku aku. =)


Pak Lang dan anak menakannya, Din.

Kay, Kak Siti, Nor

Sahabat Seperjuangan

Kami... (Nor, Rozi, Kay)

Halem, Nor, Kay, Rahim

Waktu yang dinantikan....
( p/s: Ini la keputusanku. Rujuk di sini )

Mereka yang cuti separuh hari...... =D
(mereka buat aku terharu. Sila rujuk di sini)

Terima Kasih, Terima Kasih , Terima Kasih!

TERIMA KASIH ini kuucapkan kepada semua yang sudi memberi kata-kata ucapan untuk Selasa lepas, yang sudi sms, yang sudi call, yang sudi kirim hadiah, yang sudi bagi hadiah, yang sudi menunjukkan muka dan juga yang menjelma di tengah2 orang yang ramai. Daku sungguh terharu...... =)


June 4, 2009

Ekspress Sinaran ...

Mula-mula kita periksa tiket untuk pastikan semuanya tepat sebelum bertolak.

Nak ke keretapi, kena la naik feri untuk sampai ke seberang sana.

Ok, dah betul sampai tempat permulaan.

Ini dia, keretapi dah sampai di landasan!

Sungguh tak sangka, akhirnya jumpa juga dengan ibu mengandung ini. Kartinie a.k.a Kak Cik, rakan sekelas diploma. Kali terakhir jumpa dia semasa konvo dia di bulan Ogos (ye kot) 2006. Kini Kak Cik sedang menanti hari untuk bergelar ibu (dah 7 bulan!).

Ini dia suami Kak Cik. Khas untuk tatapan kawan-kawan yang lain. Tini Alam kata Kak Cik dah nampak lain. Tak macam masa zaman diploma. Adakah sebab hendak menjadi ibu? =)



Seronok juga naik keretapi waktu siang. Menikmati pandangan yang ada. Lalu hutan, lalu tasik, lalu terowong. Selain itu nampak jugak suasana gelap je (hehe sempat membuta ok).



Ok, gambar ni bukan nak tunjuk benda yang bukan-bukan. Sekadar nak tunjuk yang dalam keretapi ada tandas ok! Kadang-kadang dapat soalan-soalan yang agak lawak. Selalunya bila ada kawan yang bertanyakan kalau naik keretapi macam mana la nak 'membuang'? Ini jawapannya, sila guna tandas yang ada kecuali semasa keretapi berhenti. Selain jenis ni, ada juga yang jenis duduk ok. Jadi boleh pilih. Jangan susah hati. hehe (erm dulu aku ada tanya soalan ni tak? erm macam ada jugak hahahahahaha)


Klasikkan stesyen keretapi ni! Kebanyakkan stesyen sebelum sampai Ipoh, begini la rupanya. Macam zaman dulu-dulu. Lepas stesyen Ipoh sampai ke KL, semua dah canggih.



Bosan-bosan duduk, pegi jalan-jalan. Yang ni kawasan antara gerabak dengan kepala keretapi.

Akhirnya sampai juga di destinasi. Lebih kurang waktu yang dicatatkan dalam tiket. =)


Gambar Bonus: Seronokkan bercinta di tempat kerja. Hahaha

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...