Showing posts with label Edisi Meronggeng. Show all posts
Showing posts with label Edisi Meronggeng. Show all posts

January 19, 2013

Misi Menjejak Cermin-Cermin Bandar George!

Bila keseorangan, pastinya bertemankan sepi. Bila berdua, itu lebih baik. Tapi kalau sampai dah 3 orang berkumpul haruslah lebih meriah! (Eh,kalau kumpul bertiga dah jadi perhimpunan haram ke?). Sebenarnya Sejak balik ke Pulau Pinang macam-macam perancangan yang Che Kay dah buat. Tapi yang sedihnya semuanya tinggal perancangan sebab tak da kaki-kaki yang nak join. Bila ABA datang dari Land Below The Wind, maka harus dibuat aktiviti bersama. Walaupun yang datang hanya 2 orang, janji Edisi Meronggeng harus berjalan seperti biasa.

Tahun lepas ketika berlangsungnya Georgetown Festival 2012, salah satu aktiviti yang dijalankan adalah Mirrors Georgetown. Projek lukisan jalanan ni dihasilkan oleh Ernest Zacharevic memberi satu nafas baru kepada Bandar Warisan Dunia ni. Selain dari si Ernest, ada lukisan yang dilukis oleh orang tempatan. Che Kay tahu ramai yang dah kongsi cerita ni di sana sini. Oleh sebab Kak Ngah dan Sumandak dah ada, Che Kay baru ada kesempatan nak meronda bersama.

Memandangkan Che Kay pon masih buta kayu pasal jalan-jalan di Bandar George, gigih ni google cari jalan. Che Kay memilih jalan selamat untuk bermula di Jeti Chew. Senang je nak cari. Kalau kita menghala ke Jeti a.k.a Pengkalan Feri Raja Tun Uda, nanti kita akan jumpa stesyen minyak Kerang. Sebelah stesyen tu la Jeti Chew.


Barulah Che Kay tahu rupa-rupanya kat Pulau Pinang ni pon ada perkampungan atas air. Dan makin Che Kay kagum yang tinggal di situ pulak berbangsa Cina. Selama hidup ni Che Kay cuma tahu di belah Borneo yang banyak perkampungan atas air. Tambah-tambah Kampung Air Sembulan. Eh! situ tempat beli mutiara dan kristal. hehe salah nama kampung ok~

Kak Ngah dan "Children in the boat" di Chew Jetty
Masa di perkampungan Jeti Chew, kami disambut dengan muzik yang dimain oleh satu pancaragam. Lagu-lagunya sungguh riang. Che Kay rasa macam hairan. Adakah begini mereka sambut kedatangan 'pelancong' yang bertiga ini? Kak Ngah dan Sumandak macam dah teruja ja dengan segala muzik. Che Kay kaget bila nampak beberapa orang sedang duduk depan pancaragam tadi sambil menangis pilu. Masing-masing pakai baju hitam. Oh, tidak! Rupanya ketika tu ada kematian di situ. Seorang nenek dalam lingkungan 80-an telah meninggalkan alam ini.
Sumandak dan bot!
Kami tumpang lalu untuk ke hujung 'kampung' untuk menikmati pemandangan laut di situ. Rasa macam kagum la jugak. Di sana nampak pemandangan antara jeti di bahagian Butterworth hinggalah ke sebelah sini. Bagi meneruskan acara pencarian, Che Kay ajak Kak Ngah dan Sumandak berjalan dari Chew Jetty ke Lebuh Chulia melalui jalan Pengkalan Weld. Masa tu dalam kepala Che Kay hanya tahu nak ke Lebuh Ah Quee. Sedang kami dah berjalan di Lebuh Chulia, sekali kami jumpa lukisan di bawah ni. Apa lagi terus bergambar!

Kak Ngah dan "Children Playing Basketball" di Gat Lebuh Chulia
Baru-baru ni Che Kay bawak Abang Ngah berjalan pi tengok di lukisan atas ni, malangnya sekarang yang tinggal hanya tiang. Gelung bersama jaring dah hilang. Apalah nasibkan. Orang lain dah buat elok-elok, mungkin ada orang lain buat onar di situ. Di seberang jalan dari lukisan kanak-kanak berbola bakul, kami jumpa pula gambar di bawah. Di kawasan ni ada orang jual tshirt la poskad la buku nota la. Kami pon ada jugak borong poskad untuk bagi kawan-kawan. Selain tu boleh jugak beli peta untuk panduan mencari lukisan.

Che Kay bersama "Brother and Sister On A Swing" di Stey By Step Lane.

Che Kay rasa agak sengal la jugak sebab di kala tengah panas, diriku sanggup berkardigan bagai. Peluh jangan cakaplah. Si Sumandak dok kata Penang lagi panas dari Kota Kinabalu. Hehe. Kami meneruskan berjalan kaki dari Step by Step Lane ke Lebuh Ah Quee. Budak dan motorsikal ni sebelum ni Che Kay dah jumpa bila tengah sesat nak cari Kedai Nasi Kandar Kassim Mustapa. Tu yang yakin je berjalan ke sana.
Sumandak dan "Boy On A Bike" di Lebuh Ah Quee.
Memandangkan lukisan-lukisan ni semua dah popular, kalau datang hari minggu kenalah banyak bersabar. Ramai orang lain yang teruja nak bergambar macam mana kita pon beria nak berposing tak hengat. Cuma sayangnya lukisan "Little Boy with Pet Dinasour" tu dan tak berapa nak lawa. Ada ketulan-ketulan dinding dah runtuh.


Ha! Masa malam hari yang Che Kay bawak Abang Ngah tunjuk lukisan-lukisan ni, Che Kay beria nak takutkan dia. Masa kami di Lebuh Ah Quee, kawasan dia gelap gelita. Berbekalkan lampu kereta, Che Kay kata kat dia. "Hang jaga-jaga sikit, hang tengok kat ataih moto tu ada nampak budak tak?". Abang Ngah dah cuak semacam je. Hehe.
Che Kay dan "Little Children On A Bicycle" di Lebuh Armenian
Dari Lebuh Ah Quee kami berjalan ke Lebuh Armenian untuk berjumpa budak-budak kecik di atas. Masa ni Che Kay dah tak tahan panas. Makanya kardigan pon dah tertanggal. Sesungguhnya lain kali aku dah tak sanggup nak berpakaian macam ni lagi. Rasa seksi sangat!
 
Kak Ngah dan Sumandak di Lebuh Armenian.
Tak tahu siapalah yang lukis Polis Traffic ni.

Sayangnya lukisan Old Man ni dah makin pudar.
Masih di Lebuh Armenian.

Ketika di depan lukisan Lelaki Tua di atas, ada seorang penganyuh beca berbangsa India tegur Che Kay. Dia beria cakap English. Dia teruja nak tahu Che Kay dari mana. Dia tanya "Sir. are you from India?". Ha! Terkedu aku kejap. Adakah pakaian aku hari tu menampakkan aku ni seperti pelancong antarabangsa? Haha. Che Kay terus cakap Melayu dengan dia.

"Reaching Up" di Lebuh Cannon
Dari lukisan orang tua tadi, kami berjalan ke hadapan memasuki Lebuh Cannon. Inilah lukisan terakhir yang memerlukan kami berjalan. Che Kay tahu Kak Ngah dan Sumandak dah penat gaban. Tengok muka masing-masing dah macam tak ada mood ja. Sebelum ni Che Kay tengok budak ni konon-konon nak ambil botol. Masa kami sampai botol dah tak da. Yang ada hanyalah anak patung. Adakah botol yang digunakan sebelum ni dah kena jual? Ha persoalannya. Lepas lukisan ni kami meneruskan pencarian kami naik kereta pulak. Sebabnya lukisan lagi 2 ni agak jauh untuk berjalan.

Sumandak dan "Little Girl In Blue" di Muntri Street.

"The Awaiting Trishaw Paddler" di Penang Street

Masa dah sampai ke lukisan Anak kecil berwarna biru dan pak cik beca ni, awan pon dah mula nak rintik pilu. Kami berposing sepantas mungkin. Kemudian barulah kami mencari makanan. Dengan kepenatan berjalan ketika cuaca panas, hanya tuhan saja yang tahu betapa puasnya Che Kay dapat menikmati segala 'cermin-cermin' di Bandar George ni. Nasib baiklah Kak Ngah dan Sumandak ada. Terima kasih banyak-banyak sebab diorang bersabar je dengan paksaan Che Kay untuk tawaf Bandar George. =)

p/s: Oh, ya! Kami bertiga rasa sunggoh poyo pakai baju HatYai! 

December 31, 2011

Edisi Meronggeng: Kudat 2011



Hari ini Che Kay tergerak hati nak berkongsi cerita tentang salah satu percutian bersama-sama Adik Beradik Angkat (ABA) di Sabah. Sesunggohnya pada hari ini Abang Long Martin dan Adik Girukh mengikatkan tali pertunangan mereka. Sayangnya Che Kay tak dapat ikut serta rombongan Abang Long Martin ke kampung halaman Anne dan adik Girukh. Jadi entri hari ini didedikasikan buat semua.

Edisi Meronggeng ke Kudat adalah pembukaan siri meronggeng kami adik beradik angkat buat tahun 2011. Oleh kerana sekarang sudah penghujung tahun, biarlah cerita ini menjadi penutup untuk aktiviti meronggeng kami. Kami rancang nak ke Kudat sejak dari tahun 2010. Pada Januari 2011, hajat kami tercapai juga akhirnya. 


Tapi entah mengapa setiap kali adik beradik angkat berkumpul hendak berjalan-jalan, hujan pasti menjadi teman setia. Bila diimbas kembali, setiap kali kami pergi meronggeng ke mana saja pada tahun ni memang titisan air dari awan pasti membasahi bumi. Adakah ini merupakan tanda satu rahmat bila kami semua berkumpul? Hujan menemani sepanjang perjalanan kami lebih kurang 3 jam dari Kota Kinabalu sehinggalah sampai ke Kudat. Makanya setelah check in di hotel budjet, kami jalan-jalan di sekitar kawasan hotel. Sempatlah singgah makan KFC dan berfoya-foya di kedai baju yang ada. (Kaedahnya datang sebegini jauh, KFC juga yang jadi idaman sekelian ABA)

                             

Bila malam menjelma, kami pusing-pusing sekitar Kudat mencari kedai makan. Hajatnya nak mencuba restoran di Hotel Ria. Malangnya restoran tu dah tutup. Entah macam mana, kami tertarik melihat Tokong Cina di sebelah hotel. Apa lagi, masing-masing memang terkenal dengan pantang nampak kamera, makanya di kawasan sekitar tokong pon jadi. Konon-konon kami ni jadi macam pelancong yang baru nak jelajah tempat baru. (Eh, memang kami pergi melancong ok ke Kudat tu! hehe)


Memandangkan malam masih muda, kami sambung ronda lagi. Pusing punya pusing, akhirnya kami berhenti di Esplanad Sidek. Tempat ni berhadapan dengan Perpustakaan Awam Kudat menjadi kawasan orang melepak di tepi pantai. Di hujungnya terdapat kedai-kedai makan. Memandangkan  ABA nak makan yang panas-panas, tersampailah kami ke 'restoran terapung'. Bila dilihat menu yang ada, tak sabar rasanya nak makan tomyam. Kaedahnya sesudah tomyam ada dalam mulut, masing-masing berkerut terutamanya Abang Long. Mungkin tak kena dengan selera kami. Sambil bersembang di restoran tu, kami semua bercadang untuk bergerak seawal mungkin dan berdoa agar hujan tidak lagi menjadi peneman.


Pagi yang dinantikan telah tiba. Cuaca sungguh cerah bagaikan doa kami semua telah dimakbulkan. Tempat pertama untuk dilawati adalah The Tip of Borneo di Tanjung Simpang Mengayau. Kebanyakkan kami dah sampai beberapa kali, namun masih ada yang pertama kali menjejakkan kaki ke sini. Che Kay mengambil kesempatan yang ada untuk jejakkan kaki ke tempat paling utara di Borneo. Sebelum ni sekadar sampai di hujung tangga. Di situ ada papan tanda bahaya dan melarang melintasi had yang ada. Bila sorang dah turun, yang lain pon join sekali. Dalam hati ni punyalah takut! Hehe. Tapi bila dah turun, takut pon hilang. =) Pemandangan di sini sunggoh cantek melihat lautan yang biru kehijauan. Teringat pemandangan dari atas kereta kabel di Langkawi.


Selepas melepak di Simpang Mengayau lebih kurang 2 jam, kami bergerak mencari kawasan rumah Rungus.  Kaum Rungus merupakan salah satu kaum yang paling ramai di Kudat. Kami singgah ke Kampung Bavanggazo untuk melihat rumah panjang kaum tersebut. Dalam rumah panjang ni ada kaum ibu menjual barang kraftangan. Memandangkan majoriti ABA adalah perempuan, masing-masing tak ingat dunia mencuba itu ini. Che Kay difahamkan ada bilik di rumah panjang ni disedaikan untuk disewa. Tak silap maklumat yang diberikan bayaran untuk satu malam adalah RM50 termasuk sarapan pagi. Dalam bilik tersebut yang disediakan adalah tilam dan kelambu bersama aircond semula jadi. Bila tengok kawasan bilik, dah terbayang betapa sejuknya kalau tidur di sini.


Seterusnya kami ke Kampung Sumangkap untuk melihat pembuatan gong. Kampung ni memang terkenal dengan perusahaan membuat alat muzik yang menjadi salah satu item penting dalam kebudayaan Sabah. Boleh dikatakan semua kaum di sini menggunakan gong dalam majlis keramaian. Kami sekadar meronda-ronda di sini dan ternampaklah gong yang Maha Besar. Apa lagi macam biasa semua gigih berposing. 


Destinasi kami yang terakhir di Kudat ni adalah Kampung Gombizau yang terkenal dengan madunya. Madu di sini memang menjadi hot stuff sebab ada orang gigih datang ke sini hanya semata-mata untuk beli Madu Gombizau sahaja. Selain terkenal dengan madu, kampung ni pernah menjadi Johan Kampung Sejahtera Tahun 2009 anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah. Oh ya, hujan memang mencemburi kami. Hajat nak lihat lebah-lebah berterbangan ke sana sini lenyap begitu saja. cardigan yang elok di badan akhirnya menjadi penutup kepala. Apa boleh buat payungnya tiada.

Hujan yang turun memang tidak mengasihani kami. Akhirnya kami buat keputusan untuk pulang semula ke Kota Kinabalu. Sebelum tu kami semua singgah makan 'tengahari' yang agak lewat di Kota Marudu. Sambil makan sambil bercerita. Walaupun hujan sana sini, kami semua puas hati sebab hajat utama nak melepak di Tip Of Borneo kesampaian. =)

p/s: Tak sabar rasanya nak dengar cerita daripada ABA yang lain tentang majlis Abang Long Martin dan Adik Girukh... 

October 9, 2011

Edisi Meronggeng: Kasih Sayang Health Resort !

Di sebalik bukit-bukau yang setiap hari dilihat menerusi jendala bilik Che Kay, rupanya tersembunyi satu destinasi menarik lagi mengujakan! Selalunya bila teringin menikmati kesejukkan udara segar ramai yang melarikan diri ke Kundasang untuk menikmati pemandangan hijau yang menenangkan mata. Terletak di Kampung Kokol, Menggatal, tempat istirehat yang dinamakan Kasih Sayang Health Resort ini mampu memberi satu pengalaman yang berbeza kepada kaki-kaki jalan.


Jarak resort ini lebih kurang 30 kilometer dari Bandaraya Kota Kinabalu. Kepada mereka yang pertama kali menjejakkan kaki di negeri di bawah bayu, perjalanan dari lapangan terbang ke Pekan Menggatal lebih kurang 18 kilometer. Kemudian dari pekan tersebut, jarak perjalanan menaiki bukit menuju ke destinasi indah ini adalah lebih kurang 11 kilometer. Bagi mereka yang tidak berkesempatan hendak ke Gunung Kinabalu, resort ini adalah pilihan terbaik anda. Oh ya, jangan bimbang tentang jalan raya, keadaannya baik dan kenderaan yang kami guna hanyalah Myvi dan Persona.

Sebenarnya Che Kay tidak tahu tempat ini begitu mendamaikan hati. Semuanya hasil cadangan Abang Long, Kak Ngah dan adik-beradik yang lain. Mereka mencari kelainan dalam aktiviti di hujung minggu. Bak persoalan yang dilontarkan oleh si kembar, "Kamu tidak bosan ka pergi ke shopping mall?". Maka inilah aktiviti kami kali ini. Menikmati pemandangan yang menakjubkan dalam suasana dingin.

Semasa ketibaan, kabus menyelubungi pemandangan kami.

Selepas beberapa minit, kabus dibawa angin....

dan pemandangan Bandaraya Kota Kinabalu baru nampak!

Bila si mentari terbenam di sana...

kami menikmati minum petang bersama-sama.

Lampu-lampu di seluruh bandaraya pun menyala....

Che Kay ada jumpa video di Tiub Kamu. Terima kasih visitkotakinabalu! Kepada mereka yang inginkan maklumat lanjut, sila layari laman Kasih Sayang Resort. Lain kali jika diizanNya, Che Kay nak bermalam di resort ni pula. =)

p/s: edisi meronggeng kali ini ala-ala mengubati hati setelah plan bercuti kami
pada bulan lepas dibatalkan. =D

June 10, 2011

Edisi Meronggeng: Pulau Tiga a.k.a Survivor Island

Edisi Meronggeng kembali lagi! Kali ni Che Kay nak kongsi cerita sambungan daripada cerita Edisi Meronggeng di Pekan Weston. Selepas habis aktiviti di Pekan Weston, kami 'adik-beradik' kembali ke Beaufort dan bermalam di sana. Keesokan harinya pada 1 Mei 2011 baru kami bergerak ke Kuala Penyu dan perjalanannya mengambil masa lebih kurang 30 minit. Jarak Kuala Penyu dari Kota Kinabalu lebih kurang 114 km.

Dari Kuala Penyu, kami naik bot lebih kurang 30 minit untuk sampai ke Pulau Tiga. Pulau Tiga juga dikenali dengan nama Survivor Island. Ingatkah anda dengan rancangan tv yang glamour itu? Di sinilah rancangan Survivor Season 1 dilaksanakan. Untuk percutian kali ni kami tak tidur di Pulau Tiga. Kami hanya lepak-lepak di sini lebih kurang 5-6 jam. Banyak aktiviti boleh buat di pulau ni tapi tujuan utama kami adalah nak BERKUBANG~~~ =) .

Itu dia adik Girukh mengalukan kedatangan kami~

Sebelum memulakan aktiviti, seperti biasa ambil gambar dulu. Patung belakang tu rasanya props yang digunakan untuk Survivor. Lepas bergambar, kami ke bilik untuk tukar uniform sebelum ke aktiviti utama.

Untuk ke tempat berkubang a.k.a kolam lumpur gunung berapi, kami ber'jungle-tracking' sejauh 1.2 km. Agak memenatkan la juga tapi yang penting sampai tempat yang dihajatkan! Yang penting ada tukang guide bawak kami ke sana. Bila dah sampai ke sana, masing-masing macam malu-malu sebab ada geng lain tengah berkubang. Sebaik je geng tu naik, kami masing-masing tak sabar nak turun. Macam biasa Si Anne Chanteq turun dulu~

Kolam lumpur gunung berapi ni dalamnya 4 kaki.
Untuk keselamatan, disediakan tali untuk tempat berpaut.
Jangan takut dan jangan bimbang, kamu semua takkan tenggelam.
Kami balik-balik terlentang ke permukaan bila kaki diangkat dari dasar.
Cuma ada beberapa orang yang cuak hanya berdiri statik di satu tempat.
Diorang takut tak dapat imbangkan diri dalam lumpur. hihihi

Senyum~~ Macam menawan je pose yang diberikan! =P

Selain daripada kolam lumpur untuk mandi, ada juga facial mud disediakan.
(di belakang kami)

Setelah puas berkubang, kami pun bersedia untuk kembali ke resort.
Kami berjalan tanpa selipar masing-masing untuk 1.2 km lagi.
Kali ni agak mencabar sebab pijak macam-macam termasuk duri.
Kalau pakai selipar alamatnya putus tak pun terpelot kaki.
Dekat kolam lumpur ada disediakan tandas untuk mandi,
tapi kami semua teruja nak mandi di tepi laut. =)

Tu dia! Semua macam zombie~ Sempat lagi nak melompat2 di tepi pantai.
Dah penat melompat semua terjun laut pulak!
Bila semua dah selesai, kami pun kembali ke daratan.
Banyak lagi aktiviti boleh buat di sini, tapi kami cemburu dengan masa.
Yang pasti kami akan kembali lagi ke sini! =)


p/s: dan yang pasti lain kali Che Kay akan bawak singlet! tobat dah seksi meksi.
Seksa i tengok balek gambar2 posing berani mati! hahahaha

May 18, 2011

Edisi Meronggeng: Pekan Weston~

Dalam Edisi Meronggeng sebelum ni Che Kay kongsi cerita aktiviti kami 'adik beradik' di Sipitang. Selepas menghabiskan masa di sana, kami bertolak ke Weston. Jarak perjalanan lebih kurang 25 km dari Sipitang. Jika perjalanan dari Kota Kinabalu ke pekan ni, jaraknya dalam 122km. Aktiviti kami di pekan ni sedikit mencabar. Sebelum ni kami habiskan masa di atas darat, di sini sebaliknya. Diikutkan keadaan cuaca, sepatutnya aktiviti kami di Pekan Weston dibatalkan.

(Sila klik untuk peta yang lebih besar)

Di sini kami naik bot beramai-ramai untuk menikmati panorama Sungai Weston. Aktivitinya adalah untuk melihat Proboscis Monkey a.ka Monyet Belanda di habitat semulajadinya. Di sini juga kita boleh melihat kunang-kunang a.k.a kelip-kelip di waktu malam. Sebenarnya Che Kay pernah buat aktiviti yang sama di Kota Klias. Namun begitu suasana dan pengalamannya berbeza.

Terus terang Che Kay katakan pengalaman kali ini agak menggerunkan. Terdapat 2 faktor, pertama sungainya lebih besar dan kedua adalah jenis botnya. Jika sebelum ini Che Kay berpeluang menaiki bot yang ada bumbung dan selesa. Kali ini botnya lebih kecil dan perlu diimbangkan. ( Adakah spesis ni kita panggil bot atau pon perahu? huhuhu buta jenis bot!). Nasihat buat meraka yang ingin merasai pengalaman yang sama, silalah bawa teropong. Tanpa teropong, memang tak puas melihat monyet-monyet atas pokok.

Salah satu gambar monyet. Tak dapat dipastikan spesisnya (sebab dah gelap! hehe).

Selepas meronda Sungai Weston menikmati habitat & Monyet Belanda, kami semua dibawa pula ke tempat kunang-kunang. Gambar di atas memaparkan senyuman manis Adik Su Sujan Che Kay dan Kak Lang Mar. Lepas senyuman manis, terus kami senyap! Hahaha. Tiba-tiba Adik Su Sujan nampak sesuatu timbul di permukaan air. Benda yang timbul tidak jauh dari bot kami. Adik Su bertanyakan kepada pembawa bot. Dia terkedu seketika dan terus memecutkan bot kami. Adik Su tetap nak bertanya tapi Che Kay suruh senyap. (Benda apa lagi nak timbul di sungai yang ada udang kalau bukan Cik Ya!).

Perkara yang betul-betul buat Che Kay kagum adalah pemandangan kunang-kunang di pokok pidada (nama yang disebut penduduk tempatan). Pokok-pokok tersebut seperti berada di atas satu pulau. Jadi keindahan kelipan kunang-kunang betul-betul memukau. Bagaikan pokok-pokok krismas bergemerlapan!

Menurut pembawa bot, kunang-kunang tak ada apabila bulan purnama. Dan nasib menyebelahi kami kerana malam tersebut gelap gelita. Dan paling menyeronokkan apabila pembawa bot tolong ambilkan kunang-kunang untuk kami! (Teringat kenangan kanak-kanak ketika tinggal di kampung apabila sesekali kunang-kunang naik ke atas rumah kampung. ) =)

Dan akhir sekali sesi bergambar bersama 'adik beradik'. Kali ni Che 'Ros' ambilkan.

p/s: Tahukah kamu bahawa nama Weston berasal daripada nama seorang jurutera berbangsa Inggeris yang mengetuai pembinaan landasan keretapi daripada Beaufort hingga ke Weston pada tahun 1896 hingga 1900? Namanya Authur J. West.

May 3, 2011

Edisi Meronggeng: Pekan Sipitang

Akhirnya percutian yang dirancang sejak awal Februari dapat dilaksanakan! Kali ini Che Kay dan 'Keluarga' Kesayangan menjelajah pulak ke bahagian Pantai Barat Sabah lebih terarah ke daerah Beaufort dan kawasan sekitarnya termasuk Sipitang, Weston dan Kuala Penyu. Berkat kegigihan Kak Ngah kami Cikgu Rozanna, semua yang dirancang berjalan dengan teratur.

Kami 'sekeluarga' berkumpul di Beaufort dahulu sebelum memulakan aktiviti ronda-ronda kami. Kak Long cadangkan kami makan 'tengahari' di Sipitang. Sipitang terkenal dengan sataynya. Kebanyakkan gerai-gerai di tepi laut menjual satay sebagai menu utama. Perjalanan dari Beaufort ke Sipitang lebih kurang 55 kilometer.

Dan seperti percutian sebelum ini, hujan sering menemani rombongan kami. Untuk makluman yang tidka tahu, jalan di daerah-daerah Pantai Barat ini lebih landai dan tidak berbukit. Jadi perjalanannya tidak memenatkan berbanding di kawasan yang lain.

Hujan agak lebat dan Abang Long kami, Si Martin memandu dengan cermat.
Terima Kasih Abang Long! Pandu Cermat, Kami semua selamat! =D

Alhamdulillah, setibanya di Pekan Sipitang cuacanya masih ok. Kami sempat menikmati udara tepi pantai... (untuk beberapa minit sahaja!). Dan bila awan memuntahkan isinya, kami terus mencicit lari ke gerai berdekatan. Masa tu hujan lebat dan kilat pun tak hengat! Kak Lang Mar, Adik Cik Girukh sama Adik Su Shujan asyik tunduk ketakutan. Kak Ngah pon sama balik-balik kecikkan mata setiap kali bunyi guruh.

Bila dah duduk bawak khemah, apa lagi kalau bukan sesi order satay bercucuk-cucuk! Selain satay, macam-macam cucoq depa order. Ada popia, ada pisang goreng dan ada juga depa sayap ayam! BTW 'adik beradik' kami yang duduk di meja sebelah sungguh teruja bergambar dengan satay. Siap tunjuk-tunjuk jari masing-masing. Dah macam pengendali makanan kena periksa kuku depa! hihihi


Sebagai seorang pelahap makanan, sudah tentunya Che Kay adalah pemenang makan satay paling banyak. Paling banyak itu tidak bermaksud sampai 50 cucuk. Cuma lebih banyak daripada bilangan purata yang telah dimakan oleh 'adik beradik' yang lain. Che Kay tak pasti nak kata Satay Sipitang ni ada kelainan atau tidak. Sebabnya dah lama tak makan satay. Cuma yang CK perasan di antara daging ayam diselitkan sekali dengan kulit ayam. Jadi rasa dia agak layan!

Ni dia 'adik beradik' yang join rombongan ke Sipitang. Kami pacak tepi tembok ni agak lama tunggu orang yang sudi tolong ambilkan gambaq. Akhirnya orang ketiga yang ditanya barulah kami dapat dipotretkan bersama. Lepas aktiviti di Sipitang, kami teruskan aktiviti meronggeng di Weston bersama adik beradik lain yang tak sempat ke sini. (bersambung.....)

November 9, 2010

Edisi Meronggeng: Indahnya Pemandangan Kundasang & Ranau

Hari Deepavali yang lalu, Che Kay telah tinggalkan segala lampu minyak tanah, TV, muruku dan juga segala filem Tamil dan Hindi. Semuanya kerana pelawaan kawan-kawan yang ajak Che Kay berjalan dengan diorang. Kami utamakan Cuti-Cuti Malaysia. Banyak tempat sendiri masih belum diterokai, jadi inilah masanya untuk mengembara di negeri sendiri (hihihi ok la kan, janji pi jalan!). Walaupun Kundasang dan Ranau dah selalu sampai, masih ada tempat baru yang Che Kay tak pernah sampai.

Pekan Nabalu > antara tempat yang harus disinggah
untuk bergambar dengan Gunung Kinabalu.

Kundasang War Memorial > Tempat ni memang cantik!



Ladang Desa Cattle, Kundasang.> Ladang ni memang cantik.
Berlatarkan lembu susu yang comel, buat video klip hindustan
pon best ni! hihi



Poring Hot Spring> Walaupun dah banyak kali sampai,
ada lagi port2 yang belum dijelajah.


'Tagal' Sungai Moroli, Kampung Luanti>
Nampak tak ikan kat kaki tu? hehe


Sabah Tea Garden> Ni aksi2 selepas makan.
Baru boleh tersenyum. Kalau tak masing-masing masam je.


Napalus Rafflesia Garden ni betul2 tepi selekoh sebelum menuju ke Poring Hot Spring. Kami singgah balik ke sini sebab ramai teringin nak tengok Rafflesia.

Bunga Rafflesia Hidup~

Anak sungai sebelum pi tengok Rafflesia...


Nak maklumat lanjut? Sila ke laman web di bawah.
www.sabahtourism.com


p/s: Memang muka Che Kay tak ada dalam gambar-gambar di atas. Sebabnya I la tukang kameranya. Hihihi. Lepas ni nak berjalan mana pulak ye? Erm fikir-fikir dulu... Pulau Balambangan? hehe

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...