Showing posts with label Edisi Pelahap Makanan. Show all posts
Showing posts with label Edisi Pelahap Makanan. Show all posts

March 31, 2013

Kesah Burger...


Aku memang tak paham kenapa  ada kedai burger kat Penang ni suka mengamalkan double standard untuk customer yang datang beli burger. Kalau kita take away, brader burger tu tak de la pulak nak gedik potong burger yang kita pesan. Kalau kita nak makan kat tempat dia, dia hidang dalam pinggan, kemudian dia siap potong burger kita jadi 4. Lepas tu siap bagi kita pisau dengan garfu untuk kita 'menikmati' burger. 

Alahai aku cukup tak suka burgerku dipotong-potong. Memang potom stim bila nak makan burger tu. Bagi aku burger seketul itu tanpa di potong 4 lebih nikmat dibaham daripada nak makan burger dengan garfu dan pisau. Kalau orang yang dating bolehlah nak bergarfu bagai! Aku sebenarnya paham sebab brader burger tu potong, sebabnya burger dia agak besaq jugak ditambah dengan sayoq-sayoq yang banyak.

Brader burger dengan adik burger tu dah paham sangat kalau nampak muka aku, dia takkan nak potong 4 burger aku. Tapi yang akak burger yang keje kat situ tak jugak nak paham-paham. Kalau aku order burger aku mesti aku akan pesan, "Burger saya tak mau potong 4 aarr!". Hari ni akak burger masih lagi buat-buat tak paham. Lepas tu siap nak perli-perli aku masa aku order burger. Oh sunggoh menyampah!

Masa dia hantaq burger kat meja aku, dia siap kata "Nah burger hang yang tak potong. Ok kan!", sambil dia buat-buat muka perli.Oh, lantaklah!. Janji aku dapat makan burger dengan penuh nikmat~. Masa nak bayaq, akak burger buat-buat muka terperanjat tengok meja aku. Dia kata "Wah!! Licinnya~ Habis ka hang makan?". Haiyooo perlu ka tanya soalan yang tak perlu. Aku dengan selambanya pon jawab " Dok aih kak, tinggai pinggan, garfu dengan pisau ja tak habis lagi. Yang tu saya tinggai kat kak."

Akak tu  terus buat muka, Brader burger pulak renggah gelak kat akak tu. Brader tu kata kat akak tu yang dia silap la nak buat lawak bodoh dengan aku. Kan dah kena balik dengan aku. Mungkin akak tu tak kenai lagi mulutku ini. Brader dengan adik burger selalu ja kena laser dengan aku bila depa dok suka tanya soalan bodo kat aku. Sekian~


April 8, 2012

Sajian Zaman Kanak-Kanak Riang

Rasanya dah ramaikan tengok video My Generasi kat Tiub Kamu. Ala-ala terkenang kembali memori zaman berseluar biru dan seluar hijau. Bila tengok part diorang main getah, main pijak-pijak kasut dengan main jentik tutup botol tu terus Che Kay terfikir sama ada si Abdul-abdul kesayanganku tu ada main lagi ke permainan macam tu di sekolah? =)

Hujung minggu lepas semasa singgah di Uptown Shah Alam,  Che Kay terpaku seketika di depan banner ni. Diri ni terkesima sekejap bila nampak nama Sengkuang Calit ni! Rasanya dah berzaman gile tak makan benda ni. Dalam masa yang sama diputar kembali memoriku ini bilakah kali terakhir makan, adakah semasa zaman sekolah? 


Che Kay pon tanya kepada my dear friends, Si Jelita dan Jejaka Sepi sama ada diorang pernah makan ke tidak si sengkuang calit ni. Si Jelita kata dia haram tak pernah jumpa benda alah ni, dan Si Jejaka Sepi pulak buat ala-ala bodoh tak faham soalan. Sebab teringin nak makan, Che Kay sebat la 2 keping sengkuang calit ni. 

Tag line dia, "Buat Sedap-sedap. Halal, Bersih, Sedap"


Yang ni tetap nak menyelit dalam gambar. Siap buat permintaan supaya wajahnya disiarkan di sini! Hihi


Inilah dia Sengkuang Calit, diletakkan sos rojak yang masam manis dan ditaburkan kacang tumbuk di atas sos. Rasa dia betul-betul buat Che Kay terkenang zaman sekolah dulu-dulu. Rasa macam tak cukup je makan 2 keping ni. Siap berebut-rebut dengan Si Jejaka Sepi dan Si Jelita. Bila nak beli lagi, ramai pulak orang dah beratur kat gerai tadi. Huhuhu. Tapun-tapun jak la urang bilang. Semoga nanti ada rejeki lagi nak makan Sengkuang Calit ni.


Depan gerao Sengkuang Calit tu pulak ada Nasi Lemak Sempoi ni. Macam comel je logo si koboi kat bungkus nasi lemak ni.Si Jelita belanja Che Kay dan Jejaka Sepi sorang sebungkus nasi lemak. Sedap jugak nasi lemak sempoi ni. Boleh la kenyangkan perut sebelum kami ronda-ronda Uptown Shah Alam yang makin meriah tu. Lain bebenar Uptown Shah Alam sekarang ni. =)

p/s: Balik Penang ni Che Kay ada jugak mencari Sengkuang Calit ni. Tapi masih belum terjumpa.... huhuhu

March 21, 2012

My Supper-Dek: Nasi Kandar Beratur !

Kalau kamu tanyakan soalan berkisar apa yang Che Kay tahu tentang Penang, mungkin kamu akan gelakkan diriku ini kerana Che Kay memang buta Penang. Apa yang Che Kay tahu adalah Lagu Negeri, rumah bapakku, shopping mall berdekatan, Jambatan Pulau Pinang, Terminal Feri, Airport Bayan Lepas, Stesyen Bas Sungai Nibong, USM, Hospital Besaq, kawasan Kepala Batas dan sudah semestinya KOMTAR. Nak buat macam mana, semuanya terjadi kerana Che Kay dok merantau dan tinggal di negeri-negeri yang lain. Kalau balik Penang, istilah nak berjalan tu tak pernah wujud langsung sebab memang masa tu banyak dihabiskan di 'rumahku syurgaku'. Kaedahnya walaupon famili dah kembali menetap di sini lebih dari sedekad yang lalu, tetap jugak Che Kay tak pernah jelajah pulau ni.

Salah satu azam Che Kay tahun ni adalah nak ronda Tanjung ni sampai lebam! Salah satu tempat yang Che Kay teringin betul nak pi adalah kedai makan yang famous ni. Ramai dok kata kedai ni sedap, memang orang beratuq panjang la, jenuh nak tunggu la sebelum dapat makan. Jadi malam tadi kebetulan Che Kay pulang kerja jam 10 malam. Terus hati ini teringin nak cari kedai ni. Macam Che Kay bagi tau tadi yang Che Kay ni Buta Penang. Harapkan lagu negeri ja yang melekat dalam hati, jalan di Penang haram tak tau. Berbekalkan 'GPS' yang berjenama 'Redah Je Lah', Che Kay pusing sana sini mengikut gerak hati 'GPS'ku itu. Akhirnya sampai juga!

Amekkaw! Memang ramai giler orang beratoq tunggu nasi kandaq ni.

Che Kay pon join la barisan orang beratoq tu. Tak rugi kan kalau kita mencuba. Kalau tak cuba sampai bila la kita nak dengar cerita orang kan. =)

Che Kay selalu dok fikir kenapalah kedai ni hanya dibuka bermula 10 malam? Apakah motifnya menyediakan makanan yang tinggi kalorinya di waktu sebegini? Mungkin hanya tuan kedai dan sejarahnya saja yang tahu signifikannya... Che Kay pernah juga terlintas dalam hati, diorang takut kena check dengan pihak kesihatan kot, sebab tu bukak lewat malam. Hahaha

Bila dah sampai giliran, terus mata berpinau-pinau nak pilih lauk. Kalau pilih lauk lama-lama harus la orang yang dok beratoq kat belakang tu maki dalam hati kan. Jadi Che Kay pesan lauk standard macam pi makan di kedai nasi kandaq yang lain.

Memandangkan dah lewat makan, makanan tu kena la kawal juga la ye. Jadi nasi putihnya tu Che Kay minta separuh je. Mula-mula dia letak nasi menimbun tak hengat! Lauknya ayam goreng, teloq rebus, sayoq kubis, terung, kelapa masam dan juga kuah campoq. Kalau datang dengan kawan-kawan, ayam goreng tu boleh la kongsi dengan 2 orang. Bahagian ayam tu memang besaq sangat untuk makan seorang. Kuah campoq dia sedap menjilat jari. Cuma kalau dia boh kuah banjir memang terbaik! Kelapa masam dia buat Che Kay teringatkan tosei, sebab selalu kalau makan tosei selalunya dihidangkan bersama.Sedap juga makan kelapa masam tu dengan nasi. Secara keseluruhannya berbaloi juga mencuba makanan kat sini. Walaupon dah basuh tangan dengan sabun Pamolive, bau kari tetap melekat kat tangan! =)

Nah! Ini dia harga nasi saya di malam hari~ 
Mula-mula tu rasa macam nak urut dadaku ini.

Bila intai papan harga makanan ni terus hati pon kata " Oooo patut la..."
Sila la intai Ayam.... 5 hengget ye...

Secara amnya tempat duduk di kedai ni tak berapa nak banyak. Ada meja kat luar, ada juga dalam kedai tapi bilangannya terhad. Mungkin sebab tu orang kena beratur panjang kot~ =) Lepas ni mana lagi ye nak ronda Tanjung ni? Kena panjat Bukit Bendera pulak kot...


p/s: Satu je yang Che Kay tak berkenan dengan kedai ni. Part Customer Service tu macam tut je. Macam Che Kay ni pertama kali datang menjejakkan kaki kat sini, kemudian datang sorang-sorang pulak tu. Mana la Che Kay tau cara kedai ni. Ada kala terpinga-pinga sebentar. Lepas tu bila Che Kay tanya pasal nak order air, muka orang yang menjawab tu masam dan nak marah. Mana la i tau uols ni ada kerja 'khas' sekadar kendalikan bahagian nasi. Masa nak bayar pon macam tu, tetap diorang buat muka ala-ala masam dan nak marah. Kalau i tau nasi dan air perlu dibayar kepada orang yang berlainan awal-awal lagi i dah baya ok~ So mungkin part itu diorang kena perbaiki. Tak semua customer yang datang adalah pelanggan tetap uols ok. (wah! sampai dah jadi satu perenggan la ye luah rasa ni~ hihihi)

March 15, 2012

Kisah Si Taukua...

Dari bulan Disember, Che Kay asyik teringin nak makan benda alah ni. Macam-macam halangan yang melanda. Ketika tekak begitu meronta-ronta disumbatkan si taukua ni, masa tulah tak jumpa. Bila dah jumpa, masa tu lah tak teringat nak pesan. Perkenalan Che Kay dengan makanan ni pon tak lama mana pun.   Adalah lebih kurang 6-7 tahun lepas. Masa tu Che Kay keluar ronda-ronda Penang dengan my dear friend Mimie. 

Masa dia kata "Jom pekena Taukua Rendang!". Che Kay terkulat-kulat membayangkan makanan tu. Adakah taukua dimasak menjadi rendang? Tak dapat nak dibayangkan masa tu. Memang kena kutuk kaw kaw la dengan member bila Che Kay tak tau menu ni. Dia kata buat malu orang Penang ja. Hahaha. Nak buat macam mana, Che Kay ni dari kecik sampai besar merantau sana sini. Masa proses tumbesaran tu belum sempat berkenalan dengan menu ni. Masa menu dah sampai depan mata, Che Kay dok bertikam lidah dengan Mimie. Sebabnya Che Kay kata yang dihidang ni Cucuq Udang. Mimie sebagai anak Mami jati Penang pertahankan Taukuanya~ Hihi. Apa pon ketika ini masih teringat betapa nikmatnya makan Taukua Rendang yang dihidangkan oleh Mamak yang berniaga berdekatan Chowrasta Market. (Tapun ja la tekak ni!)


Hari ni dok ronda sana sini setelah selesaikan beberapa perkara, tekak terasa nak makan cendol pulut. Tapi kaedahnya gerai kegemaran tak buka la pulak. Jadi dengan semangat yang gigih Che Kay pusing kawasan yang berdekatan semata-mata mencari gerai cendol. Hasilnya hampa.... Betul kata orang, tak semua yang kita hajatkan akan tercapai. Tapi bila satu hajat tak dapat ditunaikan, ada pulak yang dimakbulkan. Entah macam mana ternampak pula gerai ni. Terus singgah! Dah lepas 2 bulan teringin baru tertunai hajatnya. 



TADAAAAA!!!! Inilah Taukua Rendang wahai kawan-kawanku~ ;)



Ada yang sebut Taukua, ada juga panggil Thokua. Nama am si Taukua ni adalah Tauhu la ye. Hihi kesian kawan-kawan kat Muka Buku yang dok tertanya-tanya apalah si taukua rendang tu. Tauhu digoreng dihidang bersama kuah kacang. Simplekan! Ada tempat hidang bersama cucur udang dan timun. Yang pasti hero bagi menu ini adalah si Taukua. Makan Taukua Rendang bersama air sirap memang terbaik di waktu petang!  Kalau taukua, cucur udang bertemu pula bahan-bahan lain dan dihidang dengan kuah kacang jadilah dia pasemboq yang glamour tu. Bagi Che Kay taukua dan kuah kacang sudah memadai. Orang kata buat lepas rasa teringin tekak. =)

p/s: Lepas ni kena jugak cari cendol pulut yang tekak teringin hari ni. Jangan kena tunggu sampai 3-4 bulan sudahlah~ Hihihi

January 29, 2012

Edisi Melahap Makanan: Mee Udang Selera Sri Tambang

Bila menjejakkan kaki di Pulau Pinang, adalah tidak sah kalau kita tidak berjalan-jalan mecari makanan. Maklumlah ramai rakyat Malaysia copkan negeri ni sebagai salah satu syurga makanan, antara negeri yang menarik untuk melantak secara pukal. Semasa Che Kay dan Abang Ngah dalam perjalanan untuk bermesra dengan 3 Abdul kesayangan kami, Abang Ngah ajak singgah di Sungai Dua sebentar. Katanya nak beli Mee Udang. Kebetulan juga Che Kay dah berzaman (secara hakikatnya mungkin sudah lebih 6-7 tahun) tak makan mee tersebut. 

Semasa sampai Sungai Dua, Che Kay dok tanya kedai mana satu nak singgah? Sebab kalau kita keluar dari Lebuhraya Utara Selatan, sepanjang jalan Sungai Dua di bahagia kiri dan kanan boleh dikatakan jual Mee Udang. Balik-balik Che Kay ulang soalan yang sama. Kata Abang Ngah Mee Udang yang paling sedap lagi asli hanya terdapat di sebuah kedai di Permatang Pasir. Terpinga-pinga kejap bila nak cari sebab Che Kay tak pernah pi.


Jalan punya jalan, sampailah ke tempat yang dituju. Mula-mula tu macam was-was kejap. Betulkan kedai tepi sungai ni kedai yang The Best Mee Udang? Bila tengok kereta-kereta di parking boleh tahan banyak. Maklumlah hujung minggu. Ramai yang bawa keluarga ke sini untuk makan besaq. Bila ternampak tanda 'Jalan-Jalan Cari Makan TV3' ada kat kedai ni hati terus yakin mesti sedap ni.


Bila dah masuk dalam gerai, Che Kay rasa macam bongok-bongok kejap bila Abang Ngah tanya macam-macam. Antara soalan dia, "Nak udang ka ketam? Sorang nak berapa ekoq?". Aiyoooo haruslah aku garu kepala. Dok ingat main pesan ja macam tu ja. Bila tengok harga di papan tanda ni terus macam nak pitam!!! Bertambahlah perkataan aiyooo dalam hati. Boleh tahan juga harga dia.


Kebetulan masa kami datang, hanya ada dua icebox . Satu ada ketam. Satu lagi ada udang. Kalau pilih ketam, adakah menu dia masih bernama 'Mee Udang'?


Maka oleh sebab itu haruslah pilihan kami hari tu si Udang Kertas yang ada ni. Konon-konon pilih udang untuk sorang makan tiga ekoq. Ada lapan mulut yang nak makan. Jadi jumlah udang yang dipilih adalah 24 ekoq. Dan bila ditimbang berat 24 ekoq udang bersamaan dengan 1 kilo. Wahai tuan-tuan dan puan-puan, harga untuk udang kertas adalah 100 gram adalah Sembilan Ringgit! Jadi harga untuk udang saja lebih kurang 90 ringgit!!! Hahaha cuba memitamkan diri sebentar~ 


Sementara tunggu udang-udang yang dipilih dimesrakan dalam kuali, kami pon lepak-lepak sambil minum kopi ais (konon-konon nak bagi hilang mengantuk). Kaedahnya kalau dah nak menguap tu tetap akan terjadi tak kiralah sama ada bekalan kafein telah dibekalkan ataupon tidak. Hehe.


Sepanjang kami duduk di sana, makin lama duduk, makin ramai orang datang makan. Itu memang petanda kedai ni sedap.Tapi selagi tak rasa manalah kita nak tahu. Oh ya, momen untuk memitamkan diri kembali lagi bila Mee Udang yang kami pesan sudah siap dibungkus.Totalnya lebih kurang 120++ hengget! (Walaupon rasa sakit jantung, poket Che Kay tetap tak rabak. Sebab yang ni Abang Ngah yang belanja. Hahaha!)


Bila dah sampai ke rumah 3 Abdul kesayangan kami, tak sabar rasanya nak bukak dan melantak Mee Udang yang bikin jantungku hampir gugur. 3 Abdul tu lagilah tak sabar. Semua dah berkumpul di meja. Masing-masing hantu udang! Tambahan pulak Abdul paling kecik.


Bila dah tuang kuah dalam mangkuk, aduhai aromanya...... bikin bergegar perutku ini. (Ini pon dok tengok gambaq masih terasa dibibir....)


Mula-mula dihirup kuah Mee Udang ni, rasa macam tak ada yang best. Udang dia pon macam biasa-biasa ja (Maklumlah dah puas melantak seafood di KK). Tapi tu la orang kata jangan cepat menilai makanan. Bila dah hirup kuah perlahan-lahan, diikuti dengan tambah ntah berapa kali, nikmatnya oh tak terkata. Kuah Mee Udang ni sungguh manis, bukan manis gula. Tapi manisnya semulajadi dari si udang! Si Abdul Senior dan Abdul paling junior asyik dok berebut udang. Sampai licinlah kami 8 orang kerjakan Mee Udang ni. Kesimpulannya kena cuba baru hangpa tau langit tu tinggi ka rendah! (hahaha ada kena mengena ka tu?)

p/s: Buat yang ala-ala tak tau macam mana nak pi , sila rujuk peta kat sini. Katakan apa adik-adik? Kata map!!! (Hahaha kesan terlebih tengok Dora The Explorer~)

January 13, 2012

Edisi Pelahap Makanan: Prapeni Thai!


Ketika hari terakhir sebelum meninggalkan di Bawah Bayu yang begitu dekat di hatiku, adik beradik angkat  (a.k.a ABA) ajak makan malam bersama-sama. Pada mulanya ABA ajak makan di kawasan Sembulan. Che Kay pon iyakan aja. Tapi bila hampir sudah dengan waktu yang dijanjikan, baru la kepala otak ni tersedar nak pergi naik apakah? Jadi ABA semua berjanji untuk berjumpa di kedai berhampiran rumah Che Kay.

Malam tu kami semua berkumpul di Restoran Prapeni Thai , Jalan Putatan. Restoran ini adalah salah satu tempat kegemaran Che Kay untuk menikmati makanan ala-ala Thai sesuai dengan citarasa bagi tekak-tekak yang berasal dari Tanah Malaya. Restoran ni tak jauh dari KKIA, tepi jalan menghala ke Putatan. Sejak datang bekerja di Bawah Bayu, tak terbilang kalinya Che Kay melantak di sini. Oh, ya! Kata kawan-kawan restoran ni kepunyaan salah seorang bekas penyampai berita TV3. Sepanjang Che Kay dok selalu makan di sini pernah la nampak tuan punya badan tu beberapa kali. 



Memandangkan malam tersebut hujan lebat membasahi bumi, Che Kay sampai lambat. Itu pon Abang Long Martin baik hati datang jemput di rumah. Bila tiba di Prapeni Thai, ABA yang lain sudah menunggu bersama makanan! Kata ABA, kalau Che Kay lambat dah habis diorang melantak dulu! Begitulah perangai Ahli Pelahap Makanan, kalau makanan dah ada depan mata semua tak sabar nak terkam. Sayangnya pada malam tu ada beberapa ABA yang tak dapat ikut serta. Ada yang kerja shif malam dan ada pula berada di Beaufort. Yang tak ada tu kita buat-buat lupakan kejap. Yang penting makanan yang dah terhidang kononnya bernama "Hidangan Keluarga"! Terasa sungguh seperti keluarga tambahan pula bila bersama ABA. =)


Antara makanan yang disediakan untuk set "Hidangan Keluarga" ni adalah Tom Yam Putih! Tom Yam yang kami dapat ni isinya dicampur-campur dengan segala binatang yang ada di darat dan laut. Rasa dia memang mantap! Pedas dia memang tak hengat! Masing-masing menahan kepedasan yang teramat~ Walaupon pedas, tom yam ni licin ye!



Ini biasalah, telul dadar namanya. Siapa nda kenal sila lumpat bintang. Hehehe



Makanan yang ditayangkan ni bernama Kerabu Ayam! Ini juga antara yang ABA berebut makan~ Mula-mula bila disebut kerabu, terasa was-was juga la. Ingatkan ayamnya tak masak. Bila dah rasa, oh ayam rebus rupanya! Walaupon direbus rasamu memang sedap wahai Kerabu Ayam~ 



Sebenarnya nak ambil gambar tu na yang hijau-hijau. Tapi perangai ABA semua ni memang jenis pantang tengok kamera. Semua gila nak bergambar! Kalau difokuskan kepada makanan, pasti ada jak jari yang mo masuk dalam bingkai. Maka inilah kejadiannya~ Kasihan si Kailan Ikan Masin tu. Si Kailan pon licin tinggal piring kami kerjakan.



Dalam "Hidangan Keluarga", rasanya inilah kepala mejanya. Ikan Masam Manis ni pertama kali Che Kay rasa di sini. Kami semua kerjakan ikan ni sampai tinggal kepala jak. Lepas tu masing-masing tak mo sudah. Konon-konon semua teringatkan pesanan ibu yang katanya tak bagus makan kepala ikan! Hehehe. Che Kay suka ikan ni sebab kuah dan nenasnya membuka selera makan. Tambahan pula waktu hujan~



Untuk membasahkan tekak kami, "Hidangan Keluarga" menyediakan satu jag air sirap untuk kami semua. Sambil makan bersulamkan air sirap. Lepas tu kejap-kejap ada ja minta diri ke tandas untuk mengurangkan  isipadu pundi masing-masing. Ada la 2-3 orang yang kononnya mampu tahan. Tapi bila tiba masanya lengkap satu pusingan semua ABA ke tandas. Hihihi.


Macam Che Kay bagi tahu tadi, ABA ni semua pantang tengok kamera selain pantang tengok makanan. Adakala kamera pon belum difokuskan lagi, tapi masing-masing dah siap posing tunggu aksi dirakam. =D Masa ni kami semua kena senyap. Sebab mata air si Mar telefon. Jadi tak boleh bising-bising sebab nanti si Mar kena marah. Hahaha. Erm.... masa masing-masing melahap dengan ceria, terjadi juga beberapa momen semua senyap tidak berkata apa-apa. Adakah ketika itu ABA kelu lidah untuk berbahasa? Atau pun mereka sedih? Huhuhu Che Kay pon sedih juga. Tapi bila ingatkan kata-kata Kak Ngah, once ABA always ABA bah! 


Ini dia pasangan M2M! Che Kay tak dapat hadirkan diri untuk majlis pertunangan diorang. Akhirnya setelah lama berpacaran, Abang Long Martin dan Adik Girukh ( a.k.a Mary) sudah bersedia melangkah ke satu tahap yang lain. Tak sabar rasanya nak tunggu majlis diorang! Sebelum terus terlupa, Che Kay nak ucapkan ribuan terima kasih sebab Abang Long dengan machonya bangun dan bayar bil di bawah! Hihihi



Bila dilihat kembali bilnya, terasa terkedu pon ada rasa tak percaya pon ada. Berkerut kejap tengok harga-harga yang tercatit. Tapi bila hati dah tenang baru rasa biasa la standard la tu. Lepas dah habis makan kan terasa lapar lagi. Adakah lauk yang dihidangkan tu sedikit atau kami yang memang kuat makan? Hahaha.



Macam biasa, selalu kalau nak balik dari mana-mana mesti ada juga adegan posing-posing depan kedai. Jadi inilah hasilnya. Buat ABA semua sehingga kita berjumpa lagi! Miss uols~~~

p/s: Salah seorang ABA pernah berkongsi kata-kata ni "Never be afraid to move on when you have to, sometimes it is the only option..."

December 24, 2011

Edisi Pelahap Makanan: Ikan Bakar Pasar Philippines

Kalau dilihat pada tarikh hari ini, kita sudah berada di penghujung tahun 2011. Lebih kurang seminggu tahun akan bertukar. Bila diimbaskan kembali pada tahun ni, salah satu tempat yang banyak Che Kay mencekik serta melahap makanan adalah di Gerai Ikan Bakar belakang Pasar Kraftangan Pasar Philippines. Dari awal tahun, ke hari Kaamatan, termasuk hari-hari biasa dan juga tidak ketinggalan acara berbuka puasa serta berhari raya disambut di sini. Ahli Pelahap Makanan pula bersilih ganti. Dan paling selalu melantak bersama haruslah Adik Beradik Angkat. Pernah sekali diorang buat acara bengong, turun dari Beaufort pada hari Isnin semata-mata nak pekena ikan bakar. Padahal hari Sabtu @ Ahad baru ja kami makan bersama. 

Che Kay rasa acara penutup makan di sini semasa my dear friend datang ke KK. Hari tu acara melahap makanan hanyalah dilakukan dalam skala kecil-kecilan. Kebetulan ahli pelahap makanan berdua tu baru makan. Jadi orang kata dapat jamah jadilah. Selain tu acara di gerai ikan bakar ni sangat bermakna buat Che Kay dan Che Jah. Sesunggohnya inilah pertemuan empat mata kami sejak masing-masing membawa haluan hidup masing-masing selepas zaman Kurniawan. Ini adalah pertama kali kami bertemu selepas 11 tahun 'terpisah'. Terima kasih kepada teknologi yang ada, tahun-tahun lain yang tak berjumpa tu kami banyak berhubung melalui segala macam medium sosial yang ada. =)


Tada!!! Banyakkan ikan bakar! Kalau berkunjung di gerai-gerai ikan bakar ni macam tak ada beza antara satu sama lain. Kesemuanya jual ikan dan seafood bakar macam udang dan sotong. Lepas tu ada juga rumpai-rumpai laut yang sedap. Rumpai laut yang Che Kay suka namanya 'Latok'. Sedap tu cicah dengan air asam atau sambal belacan. Gerai yang selalu Che Kay singgah ada 2, gerai hujung dekat dengan masjid atau gerai yang paling tengah-tengah. Jangan ditanya mengapa, itu je port yang tersinggah. Yang beza antara gerai-gerai ni pon hanyalah rasa air asam serta sambal belacan. 

Oh ya, kalau ke sini jangan berangan nak pesan ikan masak tiga rasa ke ikan halia ke mahupon masakan yang lain. Di sini hanyalah ada yang bakar-bakar sahaja. Kalau nak cuba seafood masak lain-lain boleh singgah ke gerai-gerai di sebelah pasar besar berdekatan Wisma Merdeka atau pon bolehlah singgah di Kampung Nelayan, Gayang Seafood dan Salut Seafood.


Sementara menunggu seafood bakar kami dipanaskan kembali, macam biasalah isi masa lapang sambil sembang-sembang sambil tangkap gambar. Che Jah datang ke KK bersama kawan seuniversiti dia. Diorang berdua ada acara di UMS. Mengambil kesempatan yang ada tu lah yang menyebabkan kami bersua. Kawan Che Jah ni namanya Aminah Abd Karim. ( Hahaha amik ko nama penuh aku taip. Sebabnya kalau menyembang dia selalu sebut nama penuh. Mula-mula tu aku keliru. Ingatkan dia sebut nama siapa la. Dok panggil Mien je. Ingatkan Yasmin. Rupanya tidak!)


Inilah Che Jah yang sudah 11 tahun kami berpisah. Ni ala-ala sesi jejak kasih la jugak. Walaupon masa tidak berjumpa sudah lebih satu dekad, tapi keramahan tu tetap macam 'zaman dulu'. Inilah orang kata kawan baik tetap mesra sepanjang masa. Che Jah bukanlah golongan kawan Che Kay yang bila bertemu kelu lidah untuk berbicara. Sunggoh seronok bertemu ye. Walaupon Cik Mien dok komen 'Ala macam tak 11 tahun berjumpa pon'. Mungkin Mien nak dengar cerita kami zaman dulu-dulu kot. Hakikatnya kami selalu 'simpan dalam sentuhan', jadi kami update la cerita-cerita terkini. 


Oklah mari kita kembali ke Edisi Pelahap Makanan.Memandangkan edisi kali ni berskala kecil, kami hanya pesan tiga jenis seafood sahaja. Cik Mien nak rasa ikan tuna bakar, jadi kami layankan aje. Ikan-ikan lain dah selalu Che Kay makan. Ikan tuna ni pon jadilah. Diiringi pula dalam pinggan ni udang bakar bersama sotong bakaq.


Ikan, udang dan sotong dicicah dengan sambai belacan serta ayaq asam, pergh!!!! Kelazatannya tak terkata.  Sambil dok makan, mulut dok hap-hap pedas. Hihi. Walaupon pedas, kami puas makan. Selalunya kalau makan di sini, Che Kay selalu minum air mineral ja ataupon air tin. Air-air lain tak pernah cuba pulak. Itulah hidangan penutup untuk tahun ni di Gerai Ikan Bakar Pasar Philippines. Kalau ikutkan kegemaran, Che Kay  suka makan ikan merah bakaq . Walaupon kecik dan murah, rasa manis ikan dia terserlah! Lupa pulak nak habaq, total harga makanan malam tu lebih kurang RM30++. Bolehlah untuk 3 orang makan...


Malam jejak kasih bersama Che Jah diakhiri dengan jalan-jalan di tepi pantai Tanjung Aru 1st Beach. Saja la bawak Che Jah ke sini. Yang nak tergelak si Jah excited tengok laut.Siap kejar ombak lagi di malam hari. Mungkin di area Unimas susah nak jumpa laut kot. Hihihi. Apa pon semoga kita berjumpa lagi ye Che Jah. =)

p/s: Bila dah habis taip kan aku terasa macam pernah kongsi cerita makan-makan di sini. Tapi kaedahnya tak ingat la pulak. Kalau cerita lagi tak salah kan~ 

December 19, 2011

Edisi Pelahap Makanan: A'Roma Ristorante KK


Setelah begitu lama mengidam untuk merasai makanan di kedai ini, akhirnya Che Kay jejakkan kaki bersama teman-teman sehati sejiwa untuk melahap makanan bersama-sama. Sebenarnya hajat utama nak sembang-sembang sesama teman sebab dah lama tak update cerita. Sambil dok ronda sekitar KK, akhirnya kami ke A'Roma Ristorante di Damai. Masing-masing dah lama nak cuba, kali ni baru tersampai.


Secara amnya, restoran ni berkonsepkan ala-ala Itali gitu. Dan Che Kay difahamkan yang pemilik A'Roma Ristorante ni, Chef Aaron telah menetap selama 9 tahun di sana. Dan dia pulang ke Kota Kinabalu membawa sentuhan Itali untuk penduduk sekitar KK menikmatinya. Jadi kalau dah style Itali sudah tentulah makanan dia berasaskan pasta dan pizza.


Suasana A'Roma Ristorante ni tenang je. Memang sesuai kalau nak melepak bersama keluarga dan kawan-kawan. Kalau nak berdating di sini pon best jugak, rasa macam romantik je. Che Kay, Juju & San melepak kat sini boleh tahan lama jugak. Sambil-sambil makan, update cerita, dan tengok gambar-gambar Juju yang baru bertunang. 


Memandangkan ini kali pertama bertandang ke sini, kami pon sekadar pesan air yang biasa-biasa. Juju layan Lemon Teh Ping, manakala San dengan Che Kay layan Lime Juice. Kalau melihat kepada senarai air yang ada di sini harga dia berpatutan. Tidak semahal yang disangkakan jika dibanding dengan suasana restoran ni. Harga air yang kami layan ni RM 3.50.  


Oleh disebabkan belum makan (kecuali si Juju), kami pesan makanan untuk dilantak secara berjemaah. Dengan penuh nafsunya kami order 2 jenis pasta dan 2 jenis pizza. Bila makanan sampai, meja kami penuh dengan segala jenis pinggan. Sebenarnya kami guna kupon, tu yang pesan makanan banyak. Pernah dengar kupon RM29.90? Untuk promosi di A'Roma Ristorante Buy 1 Free 1, boleh digunakan untuk pasta dan pizza. 


Dalam pinggan di atas, namanya Pasta Frutti di Mare a.k.a Pasta Seafood.


Di pinggan kedua pula namanya Spaghetti Bolognese. Kedua-dua pasta ni sedap! Lebih layan kalau banding dengan kedai pizza yang famous tu.


Yang ni pula, tajuknya Pizza Hawaiana Chicken kot. 
Ada nenas dan ayam.


Di pinggan yang terakhir ni nama dia Pizza Dello kalau tak silap. (Sambil tengok balik resit ni. Kaedahnya kelabu pulak nama dia). Yang Che Kay pasti pizza ni ada daging lembu~ Saiz pizza di sini adalah 10 inci. Bahagian dough dia tu nipis saja. Tak tebal yang selalu kita makan. Kalau Che Kay la kan, pizza jenis nipis-nipis ni 4 pinggan pon boleh habis ye. Kalau banding dengan pizza yang dough dia tebal, 3 potong pizza pon dah penuh perut. Lain kali nak cuba pizza lain pulak. Makan 2 pinggan pizza ni macam tak cukup je. =)


Oleh sebab kami guna kupon, Choco Bello ni diberi sebagai pemanis mulut. Sambil sembang sambil cedok aiskrim ni. Tau-tau habis. Sedap jugak aiskrim dengan sirap coklat. Total dibayar untuk semua makanan = RM 51.30. Kesimpulannya kami puas hati makan di sini. Pasti akan kembali lagi untuk kali kedua. =)


Kalau ada yang teringin nak datang ke A'Roma Ristorante, datanglah ke Lot 6&7, Blok A, Damai Luyang Plaza. Restoran ni berdekatan dengan Burger King dan Tong Hing Damai. Untuk Facebook, klik di sini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...