August 30, 2009

Merdeka Sebelah Kaki...


Hari ini ulang tahun Merdeka kembali lagi. Kembali dalam bulan yang penuh barakah. Bak kata pemimpin Merdeka kali ini disambut sederhana tetapi meriah. Rasanya saban tahun kita mendengar frasa ayat yang sama. Biarkanlah, yang penting kita semua masih dapat menikmati hidup dalam negara ini.

Bila ditanya kepada orang, apa ertinya Merdeka, sudah tentu ramai yang mengadakan bebas daripada pelbagai perkara. Bagi Cik Kay, Merdeka yang dinikmati sebenarnya tidak sebebas yang disangka. Konsep Cik Kay kali ini bukanlah hendak menaip segala inti pati kemerdekaan negara kita, tapi lebih merujuk kepada diri sendiri.

Hari ini kita saling melaung-laungkan yang kita bebas dan merdeka untuk buat pelbagai perkara. Ramai yang bangga terhadap kemerdekaan yang mereka perolehi dan membolehkan mereka melakukan macam-macam perkara yang menarik. Pada hemat Cik Kay merdekalah kita dalam apa jua bentuk dan jangan dilupakan sebenarnya kita hanya merdeka sebelah kaki.

Ya, kita boleh melakukan benda-benda yang besar lagi dahsyat atas kemampuan diri sendiri. Namun kemampuan itu tetap akan berlandaskan pertolongan orang lain. Merdekalah kita seperti mana yang kita mahukan tapi kita tidak boleh menafikan bahawa kita tidak dicipta untuk hidup bersendirian.

Dalam melalui jalan-jalan kehidupan yang pelbagai fasa, orang sekeliling banyak membantu kita untuk membuatkan kita dapat berdikari. Orang boleh berbangga yang mereka berjaya hasil titik peluh sendiri dan juga atas usaha diri sendiri, tetapi mereka sering lupa yang setiap kejayaan itu pasti ada yang menghulurkan sedikit bantuan.

Contohnya, seorang makhluk tuhan sudah boleh berdikari dalam hidupnya. Sudah dapat mecari kewangannya sendiri untuk kehidupan sendiri. Sehebat mana dia boleh berjaya dalam kerjayanya, pasti dia memerlukan sedikit komunikasi sama ada dengan rakan sekerja mahu pun sahabat handai. Faktor kecil ini sedikit sebanyak membantu makhluk tuhan itu menjadi manusia yang berjaya.

Bagi Cik Kay, kita semua hanyalah merdeka sebelah kaki. Bukan kerana kamu semua tempang atau capik, kita sebagai manusia biasa masih memerlukan pelbagai sokongan emosi dalam mengharungi hidup ini. Bagi mereka yang sudah berumah tangga, sudah semestinya si suami atau si isteri menjadi tongkat emosi mereka. Bagi yang masih menjalinkan hubungan jiwa dan hati, sudah semestinya si kekasih menjadi pemangkinnya. Bagi yang keseorangan di atas bumi, seharusnya sahabat handai menjadi pengisinya. Bagi seorang anak, sudah semestinya keluarga menjadi tonggaknya.

Jadi bagi mereka di luar sana, jangan malu dan jangan segan. Kita hanya manusia biasa yang perlu semua ini. Tidak ada seorang manusia yang boleh hidup tanpa berkongsi rasa hati.Tidak dapat Cik Kay bayangkan jika ada mereka mengatakan yang mereka tidak pernah berkongsi rasa hati. Kuantiti bukan menjadi persoalan. Yang penting dalam menjalani liku-liku hidup sudah tentu kita pernah bercerita itu ini untuk menenangkan hati. Gunakanlah mereka yang ada di sekeliling untuk kita memperbaiki diri.

Bagi keluarga dan sahabat handai, Cik Kay ucapkan terima kasih kerana kalian semua akan tetap sudi berkongsi ruang masa dan usaha untuk Cik Kay sandarkan keluh kesah yang bersarang di jiwa untuk meneruskan hidup ini. Aku tetap merdeka walau merdekaku hanya di sebelah kaki...

~Salam Kemerdekaan Daripada Cik Kay~



August 14, 2009

3 Perkara Menjengkelkan!

Hari ini hati Cik Kay sungguh panas dengan situasi-situasi yang Cik Kay fikir tak perlu berlaku dalam hidup ini. Betul-betul bikin panas hati la!

1. Makan Ayam
Ketika menikmati makan tengah hari di restoran glamor 'Tok Wan Janggut Puteh' yang jual ayam goreng, Cik Kay terganggu betul dengan makhluk yang menari-nari depan mata Cik Kay. Bayangkan tiap kali Cik Kay nak suap ayam seketul dalam mulut, datanglah makhluk itu dari tepi meja. Mula-mula seekor. Berlari di atas meja ke sana sini. Kemudian hilang... Tak lama kemudian, ada lagi seekor datang menari atas botol sos cili yang Cik Kay sedang guna. Memang hampeh makhluk-makhluk itu. Cik Kay sabar je melihat gelagat-gelagat Cik Li itu. Memandangkan Cik Kay ni salah satu rakyat Malaysia yang dah imun dengan kawasan makanan yang ala-ala tepi longkang, yang ada bau-bau sikit, Cik Kay redha je apa yang berlaku. Cik Kay kuatkan semangat untuk habiskan ayam-ayam goreng itu.

Masa tengah panas hati, Cik Kay rasa nak pergi tanya pengurus restoran tu. Cik Kay nak tanya restoran ni ada program 'pest control' ke tidak. Memang membara la. Ada juga hati Cik Kay nak telefon Inspektor Kesihatan suruh datang periksa restoran tu sekarang juga. Huhuhu malangnya semua dalam hati sahaja. Sebab walau perkara itu sedikit mengganggu waktu makan Cik Kay, tetap licin pinggan Cik Kay. hahaha.



2.Pisau Cukur!
Balik daripada makan ayam goreng, Cik Kay ni pon memandu kereta 'Bumblebee' pinjam menuju jalan pulang ke pejabat. Tetiba kereta Proton Iswara depan 'Bumblebee' pinjam Cik Kay ni asyik tersengguk-sengguk. Dah la perlahan, Cik Kay nak potong jalan pon tak dapat. Banyak 4WD besar-besar sedang laju di belakang. Yang Cik Kay rasa jengkel tu sebab Apek dalam kereta tu boleh pulak tengah cukur janggut dia! Hampeh punya Apek! Sambil 'drive' sambil cukur! Siap ketuk-ketuk 'razor' dia kat 'side mirror' dia. Dah tu buat muka tak bersalah pulak. Dalam hati nak je Cik Kay jerit-jerit kat Apek tu, "Dah dah la cukur. Apek cukur sampai licin, muka Apek tetap tak jadi muka Jay Chow!". Tangan ni nak je hon Apek tu. Tapi kesian orang tu, kang dengan cuping telinga dia tercukur. Huhuhu.


3. Nokia 3310
Bila dah melepasi si Apek yang cukur janggutnya, 'Bumblebee' pinjam Cik Kay sekali lagi terkandas belakang kereta yang lajunya macam siput! Kali ni pemandangan biasa di mana-mana. Tapi Cik Kay kira pada masa la ni setakat nak memandu sambil pegang telefon sebelah tangan ramai je boleh bawak kereta dengan lajunya. Tapi ini satu lagi pak cik tua bikin Cik Kay panas hati. Tetap rasa hati nak hon je, tapi sebab memang Cik Kay bukan kaki hon, jadi Cik Kay biarkan semua perkara yang menyakitkan hati itu. huhuhuhu

August 9, 2009

Lagu Buat Teman

Malam yang sepi ini membuatkan diri terkenang detik manis ketika bersama teman-teman. Walaupun mereka tiada di sisi, mereka masih sudi hadir di segenap maya yang ada. Mereka juga hadir ketika hati ingin berkongsi luah rasa. Adakah aku merindui mereka? Ya, sudah pasti! Ketika ini memang aku merasakan satu kesunyian. Apa pun, aku ingin mengucapkan terima kasih buat semua teman-teman yang hadir dalam hidup ini. Buat mereka yang pernah hadir, akan hadir atau ada di sisi untuk menjadi seorang temanku, terimalah lagu ini buat kalian.


Teman Yang Kukasih
Engkaulah temanku tempatku mengadu,
Tika tawa pilu tetap bersamaku,
Teman yang ku kasih akanku hargai,
Hingga akhir nanti kan kekal abadi,
Ku pinta oh tuhan agar berpanjangan,
Sebuah persahabatan penuh keikhlasan...


August 3, 2009

Buat Yang Bernama Siti...

Sumber Di Sini

Nukilan ini dituju khas buat insan yang disayangi bernama Siti. Siti Nurhaliza merupakan satu figura manusia yang begitu tertib tingkah lakunya sehingga menawan segenap umat Melayu dan juga Malaysia. Tahun silih berganti, namanya terus menjadi ingatan peminatnya. Buat peminat Siti, tahniah kerana sokongan kamu kepada insan ini membuatkan dia terus bertahan dalam persada seni. Namun, aku lebih gemar bicara tentang insan yang aku kenali sejak 24 tahun lalu. Siti ini lebih bermakna dalam hidup ini. Dialah teman, dia seorang kawan dan juga seorang sabahat yang terus setia di sisi diriku.

Masih terpahat dalam ingatan ketika tahun 1985, akhirnya aku mendapat seorang teman baru. Aku tidak tahu apa maknanya, namun detik-detik yang hadir masih lagi aku ingati sehingga sekarang. Ketika aku bangun dari lena si sebelah Pak Su, botol susu masih ada dalam mulut ini. Terpinga-pinga apabila Pak Su berkata , " Jan, lepas ni Jan dah tak boleh minum pakai botol. Jan kena minum pakai cawan. Jan la ni dah ada kawan." Mungkin ada yang tidak percaya, momen itu masih kuingati.

Walaupun begitu, aku tidak mengingati detik-detik insan yang bernama Siti ini membesar daripada tidak boleh berjalan sehingga dia boleh berlari. Yang ku ingati, Siti membesar dengan rambut yang sedikit. Boleh dikatakan botak kepalanya. Aku sungguh teruja dengan adanya Siti dalam hidup ini. Mungkin ketika itu aku terasa dipinggirkan oleh mereka yang terdahulu membesar daripada aku. Kini, itu semua tidak mengapa. Kehadiran Siti sungguh membahagiakan.

Ketika Siti sudah boleh berkata-kata denganku, aku teruja mengajar dia segala benda yang perlu dia tahu. Dialah teman untukku bermain dan bergurau manja. Ada satu peristiwa, aku mengajar Siti untuk menjadi lebih cantik. Ketika itu Siti memakai baju dan skirt berwarna hijau berpolka dotkan warna kuning. Masa tu kami ada dalam department store. Aku hasut Siti suruh dia bagi tau pada ayah yang dia nak beli eye shadow. Aku ajar dia apa nak buat kalau ayah tak nak beli. Akhirnya apa yang diajar semuanya menjadi. Bermula episod Siti menjadi bahan eksperimen. Dia seakan redha dengan apa jua yang aku palitkan disegenap wajahnya. Bayangkan, budak yang berumur 4-5 tahun, menurut sahaja perintah abangnya. Pernah sekali ketika aku darjah 3 atau 4, aku teringin nak menonton wayang. Ketika itu Beauty and The Beast sedang ditayangkan. Apa lagi, sekali lagi aku ajar Siti untuk memujuk ayah supaya membenarkan kami menonton cerita ni. Aku gunting iklan cerita ini dari surat khabar dan suruh Siti tunjuk pada ayah. Aku ajar ayat-ayat yang perlu dikatakan pada ayah. Pada mulanya proses memujuk agak sukar. Setelah berulang kali, kami berjaya juga akhirnya. Aku masih ingat keseronokkan menonton cerita ini bersama Siti. =) Selain aku gunakan Siti dalam bab pujuk memujuk, Siti lah teman sepermainan aku. Apa sahaja permainan Siti, itu jugalah permainan aku. Main masak-masak, Barbie, main kawin-kawin, semua itu menjadi rutin untuk menggembirakan hati bersama Siti.

Semasa Siti di sekolah rendah, aku suka marahkan dia. Macam-macam aku kata dekat dia. Masa tu dia agak susah memahami apa yang diajar. Aku agak bengang setiap kali dia tak faham. Hati ni pula cepat naik angin. Mula la mulut ni kata macam-macam. Tak pon, aku cubit dia ke, ketuk dia ke kalau dia silap buat kerja sekolah. Sesungguhnya aku menyesal dengan segala perbuatan aku. Niat aku cuma hendak dia sepandai dan sebijak orang lain. Aku masih ingat cara aku gelakkan dia. Ada juga aku katakan kalau macam ni, macam mana la dia nak masuk universiti. Walaupon macam-macam kata kejian yang pernah aku lemparkan pada Siti, aku tetap sayang padanya. Aku masih ingat peristiwa dimana aku cuba menghalang Siti daripada dipukul oleh mak. Aku tak bermaksud untuk menjadi kurang ajar pada mak. Aku cuma tidak mahu Siti dibesarkan dengan segala ajaran rotan. Aku tak mahu Siti merasa sakit dipukul seperti mana aku pernah rasa sakit dipukul. Aku juga pernah tidak bertegur dengan saudara mara ketika hari raya. Ketika itu aku sungguh marah bila ada yang mengata Siti. Aku rela bermasam muka dengan saudara daripada mereka terus mengata pada Siti.

Walaupun ketika bersekolah prestasi Siti kurang baik, aku bersyukur akhirnya Siti dapat menjejakkan kaki ke universiti. Ketika itu aku sungguh berasa bangga kerana Siti berjaya menidakkan segala kata-kata kejian yang pernah aku lemparkan. Sebenarnya aku ada rasa sedikit tidak percaya yang Siti akhirnya ke universiti. Di universiti, Siti berjaya membuktikan kebolehan dia dengan keputusan peperiksaan yang membanggakan. Itu semua cukup membahagiakan. Kini tiba masa yang ditunggu. Akhirnya adik yang selalu dikatakan tidak bijak berjaya menamatkan pengajiannya. Hari bahagia akan berkunjung tidak lama lagi. Tahniah kepada Siti Khadijah sempena majlis konvokesyennya minggu depan. Maaf sebab abang Jan tak buleh pi. Walaupun aku tak da, aku harap hang akan berseronok seperti mana orang lain yang akan bergraduan nanti. Terima kasih kerana menjadi seorang adik yang baik selama ini. Sekali lagi, maafkan abang Jan kalau tak dapat menolong segala benda sepanjang hang belajaq di universiti. Aku sungguh bangga dengan hang!

Siti & Jan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...