Hari ini Che Kay tergerak hati nak berkongsi cerita tentang salah satu percutian bersama-sama Adik Beradik Angkat (ABA) di Sabah. Sesunggohnya pada hari ini Abang Long Martin dan Adik Girukh mengikatkan tali pertunangan mereka. Sayangnya Che Kay tak dapat ikut serta rombongan Abang Long Martin ke kampung halaman Anne dan adik Girukh. Jadi entri hari ini didedikasikan buat semua.
Edisi Meronggeng ke Kudat adalah pembukaan siri meronggeng kami adik beradik angkat buat tahun 2011. Oleh kerana sekarang sudah penghujung tahun, biarlah cerita ini menjadi penutup untuk aktiviti meronggeng kami. Kami rancang nak ke Kudat sejak dari tahun 2010. Pada Januari 2011, hajat kami tercapai juga akhirnya.
Tapi entah mengapa setiap kali adik beradik angkat berkumpul hendak berjalan-jalan, hujan pasti menjadi teman setia. Bila diimbas kembali, setiap kali kami pergi meronggeng ke mana saja pada tahun ni memang titisan air dari awan pasti membasahi bumi. Adakah ini merupakan tanda satu rahmat bila kami semua berkumpul? Hujan menemani sepanjang perjalanan kami lebih kurang 3 jam dari Kota Kinabalu sehinggalah sampai ke Kudat. Makanya setelah check in di hotel budjet, kami jalan-jalan di sekitar kawasan hotel. Sempatlah singgah makan KFC dan berfoya-foya di kedai baju yang ada. (Kaedahnya datang sebegini jauh, KFC juga yang jadi idaman sekelian ABA)
Bila malam menjelma, kami pusing-pusing sekitar Kudat mencari kedai makan. Hajatnya nak mencuba restoran di Hotel Ria. Malangnya restoran tu dah tutup. Entah macam mana, kami tertarik melihat Tokong Cina di sebelah hotel. Apa lagi, masing-masing memang terkenal dengan pantang nampak kamera, makanya di kawasan sekitar tokong pon jadi. Konon-konon kami ni jadi macam pelancong yang baru nak jelajah tempat baru. (Eh, memang kami pergi melancong ok ke Kudat tu! hehe)
Memandangkan malam masih muda, kami sambung ronda lagi. Pusing punya pusing, akhirnya kami berhenti di Esplanad Sidek. Tempat ni berhadapan dengan Perpustakaan Awam Kudat menjadi kawasan orang melepak di tepi pantai. Di hujungnya terdapat kedai-kedai makan. Memandangkan ABA nak makan yang panas-panas, tersampailah kami ke 'restoran terapung'. Bila dilihat menu yang ada, tak sabar rasanya nak makan tomyam. Kaedahnya sesudah tomyam ada dalam mulut, masing-masing berkerut terutamanya Abang Long. Mungkin tak kena dengan selera kami. Sambil bersembang di restoran tu, kami semua bercadang untuk bergerak seawal mungkin dan berdoa agar hujan tidak lagi menjadi peneman.
Pagi yang dinantikan telah tiba. Cuaca sungguh cerah bagaikan doa kami semua telah dimakbulkan. Tempat pertama untuk dilawati adalah The Tip of Borneo di Tanjung Simpang Mengayau. Kebanyakkan kami dah sampai beberapa kali, namun masih ada yang pertama kali menjejakkan kaki ke sini. Che Kay mengambil kesempatan yang ada untuk jejakkan kaki ke tempat paling utara di Borneo. Sebelum ni sekadar sampai di hujung tangga. Di situ ada papan tanda bahaya dan melarang melintasi had yang ada. Bila sorang dah turun, yang lain pon join sekali. Dalam hati ni punyalah takut! Hehe. Tapi bila dah turun, takut pon hilang. =) Pemandangan di sini sunggoh cantek melihat lautan yang biru kehijauan. Teringat pemandangan dari atas kereta kabel di Langkawi.
Selepas melepak di Simpang Mengayau lebih kurang 2 jam, kami bergerak mencari kawasan rumah Rungus. Kaum Rungus merupakan salah satu kaum yang paling ramai di Kudat. Kami singgah ke Kampung Bavanggazo untuk melihat rumah panjang kaum tersebut. Dalam rumah panjang ni ada kaum ibu menjual barang kraftangan. Memandangkan majoriti ABA adalah perempuan, masing-masing tak ingat dunia mencuba itu ini. Che Kay difahamkan ada bilik di rumah panjang ni disedaikan untuk disewa. Tak silap maklumat yang diberikan bayaran untuk satu malam adalah RM50 termasuk sarapan pagi. Dalam bilik tersebut yang disediakan adalah tilam dan kelambu bersama aircond semula jadi. Bila tengok kawasan bilik, dah terbayang betapa sejuknya kalau tidur di sini.
Seterusnya kami ke Kampung Sumangkap untuk melihat pembuatan gong. Kampung ni memang terkenal dengan perusahaan membuat alat muzik yang menjadi salah satu item penting dalam kebudayaan Sabah. Boleh dikatakan semua kaum di sini menggunakan gong dalam majlis keramaian. Kami sekadar meronda-ronda di sini dan ternampaklah gong yang Maha Besar. Apa lagi macam biasa semua gigih berposing.
Destinasi kami yang terakhir di Kudat ni adalah Kampung Gombizau yang terkenal dengan madunya. Madu di sini memang menjadi hot stuff sebab ada orang gigih datang ke sini hanya semata-mata untuk beli Madu Gombizau sahaja. Selain terkenal dengan madu, kampung ni pernah menjadi Johan Kampung Sejahtera Tahun 2009 anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah. Oh ya, hujan memang mencemburi kami. Hajat nak lihat lebah-lebah berterbangan ke sana sini lenyap begitu saja. cardigan yang elok di badan akhirnya menjadi penutup kepala. Apa boleh buat payungnya tiada.
Hujan yang turun memang tidak mengasihani kami. Akhirnya kami buat keputusan untuk pulang semula ke Kota Kinabalu. Sebelum tu kami semua singgah makan 'tengahari' yang agak lewat di Kota Marudu. Sambil makan sambil bercerita. Walaupun hujan sana sini, kami semua puas hati sebab hajat utama nak melepak di Tip Of Borneo kesampaian. =)
p/s: Tak sabar rasanya nak dengar cerita daripada ABA yang lain tentang majlis Abang Long Martin dan Adik Girukh...