December 15, 2010

Te-Rau-Ma


Malam tadi saya menaiki pesawat Udara Asia AK 6026 dari PEN ke BKI. Seperti biasa, berat sungguh hati ini untuk meninggalkan rumah kesayangan. Perjalanan semuanya lancar walaupun pesawatnya lewat tiba. Sekali gus pesawat juga berlepas 30 minit dari masa yang ditetapkan. Untuk membunuh masa dalam pesawat, habis satu novel dibaca. Tak cukup dengan novel sambung pula dengan majalah rasmi Udara Asia.

Salah satu topik yang menarik dalam majalah tersebut adalah bicara Captain Lim berkenaan penggunaan telefon bimbit dalam pesawat. Katanya tidak lama lagi pengguna Maxis bolehlah menggunakan telefon pintar mereka ketika terbang bersama Udara Asia. Selain itu dia juga ada menerangkan kenapa penumpang diminta mematikan telefon bimbit masing-masing di dalam pesawat. Sebab utamanya kerana signal telefon boleh mengganggu isyarat yang diterima oleh pesawat. Dan seterusnya bla bla bla dan bla (masa ni kepala sudah pening dan mengantuk).

15-20 minit sebelum mendarat, di luar pesawat sudah diliputi awan dan sudah tidak nampak segala lampu cahaya dari darat. Tiba-tiba pesawat bergegar kuat. Terus hati berdebar-debar. Dalam hati terus mengucap! Ketika inilah segala cerita pesawat terhempas melintasi pemikiran. Biasalah kan bila ketakutan menguasai diri... huhuhu. Selepas beberapa minit, hilanglah segala gegaran.

Dan ketika pesawat betul-betul mendarat, tiba-tiba telinga ini terdengar satu nada dering yang selalu didengar. Hati ini tertanya siapalah bodoh tidak mematikan telefonnya. Sambil mengomel dalam hati terus teringat sesuatu dan diseluknya poket seluar. Oh, rupanya manusia bodoh itu adalah saya! Terus diri ini gabra di tahap gaban dan cepat-cepat tekan butang merah. Sempat melihat skrin ada tiga mesej baru diterima. Jantung berdegup kencang ketika roda pesawat menyentuh landasan. Bila pesawat meluncur laju, bertambahlah susah hati dan tertanya-tanya bilalah dia hendak berhenti. Hati terus memaki diri dan berdoa semoga tidak terjadi apa-apa disebabkan telefon saya hidup.

Alhamdulillah semuanya selamat dan saya masih ada di sini untuk menaipkan cerita ini. Saya benar-benar trauma seketika dengan apa yang terjadi. Bila diingat kembali, saya yakin betul saya telah mematikan telefon ketika berada dalam bangunan terminal setelah membalas komen di Muka Buku. Saya melihat dengan mata ini telefon itu telah padam setelah paparan skrin terus hitam selepas beberapa saat. Adakah telefon ini terhidup ketika saya menyumbatkan bungkusan biskut dan KitKat dalam poket seluar? Mungkin... Semoga ini menjadi satu pengajaran buat saya. Lain kali simpan pula telefon dalam beg. huhuhu

p/s: Selasa minggu lepas dapat Nasi Lemak, Biskut Hwa Tai, KitKat, Air Mineral, Jus Oren dan Teh Panas. Semalam Jus Oren dah tak ada dalam tray plastik yang diberi... dah habis stok kot...

-aduhai...sungguh skema karangan hari ini. hehehe

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...