August 3, 2009

Buat Yang Bernama Siti...

Sumber Di Sini

Nukilan ini dituju khas buat insan yang disayangi bernama Siti. Siti Nurhaliza merupakan satu figura manusia yang begitu tertib tingkah lakunya sehingga menawan segenap umat Melayu dan juga Malaysia. Tahun silih berganti, namanya terus menjadi ingatan peminatnya. Buat peminat Siti, tahniah kerana sokongan kamu kepada insan ini membuatkan dia terus bertahan dalam persada seni. Namun, aku lebih gemar bicara tentang insan yang aku kenali sejak 24 tahun lalu. Siti ini lebih bermakna dalam hidup ini. Dialah teman, dia seorang kawan dan juga seorang sabahat yang terus setia di sisi diriku.

Masih terpahat dalam ingatan ketika tahun 1985, akhirnya aku mendapat seorang teman baru. Aku tidak tahu apa maknanya, namun detik-detik yang hadir masih lagi aku ingati sehingga sekarang. Ketika aku bangun dari lena si sebelah Pak Su, botol susu masih ada dalam mulut ini. Terpinga-pinga apabila Pak Su berkata , " Jan, lepas ni Jan dah tak boleh minum pakai botol. Jan kena minum pakai cawan. Jan la ni dah ada kawan." Mungkin ada yang tidak percaya, momen itu masih kuingati.

Walaupun begitu, aku tidak mengingati detik-detik insan yang bernama Siti ini membesar daripada tidak boleh berjalan sehingga dia boleh berlari. Yang ku ingati, Siti membesar dengan rambut yang sedikit. Boleh dikatakan botak kepalanya. Aku sungguh teruja dengan adanya Siti dalam hidup ini. Mungkin ketika itu aku terasa dipinggirkan oleh mereka yang terdahulu membesar daripada aku. Kini, itu semua tidak mengapa. Kehadiran Siti sungguh membahagiakan.

Ketika Siti sudah boleh berkata-kata denganku, aku teruja mengajar dia segala benda yang perlu dia tahu. Dialah teman untukku bermain dan bergurau manja. Ada satu peristiwa, aku mengajar Siti untuk menjadi lebih cantik. Ketika itu Siti memakai baju dan skirt berwarna hijau berpolka dotkan warna kuning. Masa tu kami ada dalam department store. Aku hasut Siti suruh dia bagi tau pada ayah yang dia nak beli eye shadow. Aku ajar dia apa nak buat kalau ayah tak nak beli. Akhirnya apa yang diajar semuanya menjadi. Bermula episod Siti menjadi bahan eksperimen. Dia seakan redha dengan apa jua yang aku palitkan disegenap wajahnya. Bayangkan, budak yang berumur 4-5 tahun, menurut sahaja perintah abangnya. Pernah sekali ketika aku darjah 3 atau 4, aku teringin nak menonton wayang. Ketika itu Beauty and The Beast sedang ditayangkan. Apa lagi, sekali lagi aku ajar Siti untuk memujuk ayah supaya membenarkan kami menonton cerita ni. Aku gunting iklan cerita ini dari surat khabar dan suruh Siti tunjuk pada ayah. Aku ajar ayat-ayat yang perlu dikatakan pada ayah. Pada mulanya proses memujuk agak sukar. Setelah berulang kali, kami berjaya juga akhirnya. Aku masih ingat keseronokkan menonton cerita ini bersama Siti. =) Selain aku gunakan Siti dalam bab pujuk memujuk, Siti lah teman sepermainan aku. Apa sahaja permainan Siti, itu jugalah permainan aku. Main masak-masak, Barbie, main kawin-kawin, semua itu menjadi rutin untuk menggembirakan hati bersama Siti.

Semasa Siti di sekolah rendah, aku suka marahkan dia. Macam-macam aku kata dekat dia. Masa tu dia agak susah memahami apa yang diajar. Aku agak bengang setiap kali dia tak faham. Hati ni pula cepat naik angin. Mula la mulut ni kata macam-macam. Tak pon, aku cubit dia ke, ketuk dia ke kalau dia silap buat kerja sekolah. Sesungguhnya aku menyesal dengan segala perbuatan aku. Niat aku cuma hendak dia sepandai dan sebijak orang lain. Aku masih ingat cara aku gelakkan dia. Ada juga aku katakan kalau macam ni, macam mana la dia nak masuk universiti. Walaupon macam-macam kata kejian yang pernah aku lemparkan pada Siti, aku tetap sayang padanya. Aku masih ingat peristiwa dimana aku cuba menghalang Siti daripada dipukul oleh mak. Aku tak bermaksud untuk menjadi kurang ajar pada mak. Aku cuma tidak mahu Siti dibesarkan dengan segala ajaran rotan. Aku tak mahu Siti merasa sakit dipukul seperti mana aku pernah rasa sakit dipukul. Aku juga pernah tidak bertegur dengan saudara mara ketika hari raya. Ketika itu aku sungguh marah bila ada yang mengata Siti. Aku rela bermasam muka dengan saudara daripada mereka terus mengata pada Siti.

Walaupun ketika bersekolah prestasi Siti kurang baik, aku bersyukur akhirnya Siti dapat menjejakkan kaki ke universiti. Ketika itu aku sungguh berasa bangga kerana Siti berjaya menidakkan segala kata-kata kejian yang pernah aku lemparkan. Sebenarnya aku ada rasa sedikit tidak percaya yang Siti akhirnya ke universiti. Di universiti, Siti berjaya membuktikan kebolehan dia dengan keputusan peperiksaan yang membanggakan. Itu semua cukup membahagiakan. Kini tiba masa yang ditunggu. Akhirnya adik yang selalu dikatakan tidak bijak berjaya menamatkan pengajiannya. Hari bahagia akan berkunjung tidak lama lagi. Tahniah kepada Siti Khadijah sempena majlis konvokesyennya minggu depan. Maaf sebab abang Jan tak buleh pi. Walaupun aku tak da, aku harap hang akan berseronok seperti mana orang lain yang akan bergraduan nanti. Terima kasih kerana menjadi seorang adik yang baik selama ini. Sekali lagi, maafkan abang Jan kalau tak dapat menolong segala benda sepanjang hang belajaq di universiti. Aku sungguh bangga dengan hang!

Siti & Jan

4 comments:

Fairuz Selamat said...

hahahahaahahahahahahahahahahahaahhaah

SadiyanaSadikin @ $$ said...

hahaaaaa..ku ingt2 betol2 ct nurhaliza td!!

Zunaidi Dali Great Eastern said...

so sweet n cute write up!

Anonymous said...

hahahaha! gosh1 funny but sweet entry! welcome to my blog :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...