January 9, 2013

Wawasan 2020 ...


Pagi ini ketika hendak ke tempat kerja, Che Kay ternampak perkataan 'Wawasan 2020' di cermin belakang kereta Proton Wira. Oh rasa sungguh klasik perkataan itu. Maklumlah sudah 22 tahun wawasan tersebut dibentangkan. Kalau dicampur tolak, insyaallah lagi 7 tahun sahaja untuk tiba masanya. Adakah kita semua bersedia?

Sebenarnya Che Kay ketawa sendirian dalam hati bila mengenangkan Wawasan 2020. Masihkah kalian ingat ketika wawasan ini dilaung-laungkan oleh pemimpin ketika itu? Bagi yang sezaman dengan Che Kay, ketika itu kita semua di bangku sekolah, masih lagi menjadi kanak-kanak Milo yang setia menantikan van tersebut datang ke sekolah.

Mungkin sebab ketika itu, tahun 2020 dilihat sebagai tahun yang penuh dengan kemodenan yang melampau dan tak capai dek akal memikirkan zaman itu. Che Kay dah kira siap-siap kalau masih hidup pada tahun tersebut umur Che Kay sekian-sekian. Masa sekolah Che Kay dah terbayang masa tu Che Kay kaya raya. Haha dasar kanak-kanak Milo katanya~

Che Kay masih ingat ketika tahun 1993, Cikgu Jupri (guru kelas ketika itu) suruh buat satu lukisan sempena kemerdekaan untuk tahun 2020. Berbekalan krayon Buncho kegemaran, Che Kay dengan penuh semangat menghasilkan 'karya agung' dengan harapan lukisan itu akan dipamerkan.

Dalam imaginasi ketika itu, fesyen manusia untuk tahun tersebut akan mengenakan pakaian serba metalik bersama helmet yang ada pelindung muka. Alasannya semua itu melindungi kulit dari pancaran UV. Tak silap Che Kay isu yang sering dibincangkan di sekolah dan juga majalah kanak-kanak adalah isu penipisan lapisan ozon. Kalau kena UV nanti boleh jadi kanser kulit katanya. Jadi Che Kay bayangkan masa tahun 2020 lapisan ozon memang dah tak da. Sebab tu lah Che Kay lukis manusia bersama pakaian metalik ala-ala Angkasawan. Hahaha.

Selain daripada fesyen metalik itu, Che Kay ada juga melakarkan kereta terbang menghiasi lukisan. Nak buat macam mana, dari mata kanak-kanak itu tahun 2020 dibayangkan semua kereta dah tak bergerak di atas jalan. Semua kereta akan terbang di ruang udara. Makanya jalan dah tak sesak, udara pulak yang sesak. Rasanya mesti ketika itu Air Asia pon dah tak boleh cari makan kalau semua kereta boleh terbang.  

Serius Che Kay geli hati bila terkenangkan semua ini. Sayangnya Che Kay tak ingat sama ada lukisan itu ditampal di ruang pameran atau tidak. Oh, Wawasan 2020! Kamu bikin imaginasiku terbang tinggi... Sila salahkan filem-filem Hollywood!

p/s: Agak-agaknya apa pula imaginasi kamu ketika 20 tahun dahulu ketika memikirkan tahun 2020? hehe

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...