Pertama kali, ingin aku terangkan ini tidak ada kaitan dengan lagu yang acap kali diulang hampir semua radio yang ada. Ini juga bukan Kisah Hati yang mendayu pilu kerana percintaan yang tidak mungkin bersatu. Kisah yang akan diceritakan hanyalah berkisar sepasang kaki yang semua manusia ada.
Hari ini ketika sedang asyik menonton tv sambil kaki disilang atas meja kopi, tiba-tiba mata terpandangkan sesuatu. Bagaikan ada yang menganggu mata yang sedang menghayati kisah cinta di layar berkaca. Aku cuba abaikan seketika namun mata ini bagaikan terpanggil untuk memandang kaki yang tak seindah mana.
Setelah diamati memang benar kata mataku ini. Ada sesuatu yang berbeza dihujung kakiku. Abaikan semak samun yang memang sedia wujud di sana bersama kuku yang belum dipendekkan lagi. Ada noda-noda hitam di kedua belah kaki terutamanya di jari. Ditonyoh beberapa kali, tidak juga hilang warna yang ku sangkakan daki. Ku palingkan muka terus menatap tv.
Walaupun mata tak menatap kaki, cela yang ada terus bermain-main dalam kepala. Mengapa terjadi sebegitu rupa jika ianya bukannya daki? Makin lama persoalan berlegar di minda, makin bertambah prasangka yang ada. Adakah sudah tiba masanya untuk kaki berpisah dengan tuannya? Terus aku menyalahkan penyakit yang aku ada.
Bersediakah aku andai ini takdirnya? Aku tak sanggup untuk fikirkan lagi apa yang terjadi. Sambil memujuk hati, aku katakan aku harus bersedia dengan sebarang kemungkinan. Jika itu kehendakNya, aku redha seadanya. Jika ini pun aku tak dapat menerimanya, bagaimana pula dengan perkara yang lebih menghibakan? Erm....
Ketika hendak keluar rumah, sambil menyarungkan selipar yang sudah 3 tahun berkhidmat untuk kaki ini, baru aku sedarkan sesuatu. Kerisauan yang berganda dalam kepala pergi begitu saja. Alangkah lapangnya dada perkara yang ditakuti itu hanya ilusi semata-mata. Noda yang ada tu rupanya hanyalah selaran si mentari. Rupanya sudah lama aku tidak mempedulikan anggota di bawah sana.
Hari ini baru tersedar tentang kaki, bagaimana pula dengan hati? Erm...
p/s: Is fear just a state of mind?
No comments:
Post a Comment