Coretan ini ditaip khas untuk didedikasikan kepada seorang perempuan yang telah dicipta oleh-Nya. Dia bukan sebarangan orang dalam hidupku. Sudah semestinya bukan watak khayalan Si Maya Karin dalam filem yang sedang hangat di pasaran. Dia juga bukan ahli politik yang ternama. Izzah hanyalah perempuan biasa yang telah ku kenali hampir berdekad lamanya. Ini hanyalah perkongsian cerita tentang dia yang bernama Izzah.
Aku masih ingat pada satu malam aku sedang duduk di atas tangga. Sambil melihat ibu ku berjalan dengan penuh seksa sambil dipimpin oleh suaminya. Aku tertanya-tanya ke manakah hendak ibu ku pergi ketika malam hari. Yang aku tahu ayah berikan arahan supaya aku tidur. Bila tiba masanya, ayah membawa kami adik beradik berjumpa dengan dia.
Seingat aku, aku begitu teruja dah tak henti henti cium pipinya tiap kali ada kesempatan. Dan bila ibu tak ada di bilik, cepat-cepat aku mendukung si dia. Ketika tu aku ni masih lagi kanak-kanak ribena dan dia baru berusia beberapa hari. Di antara teruja atau pun perasaan kasih sayang, aku begitu senang buat kerja lipat melipat dan juga dengan gigihnya berusaha belajar melipat kain putih menjadi tiga segi untuk kegunaannya. Akhirnya aku menjadi pakar dalam bab-bab menukar lampin.
Ibu namakan dia sempena nama seorang doktor berdasarkan artikel yang ada di surat khabar. Mungkin hasrat ibu hendak dia ikut jejak langkah wanita tersebut. Pernah sekali aku dengar kata-kata dari rancangan di tv, kalau hendak pupuk sesuatu biarlah dari kecil. Terus dibelikan dia mainan untuk menjadi doktor-doktor. Selalunya akulah jadi pesakit. Kini dia sedang dalam proses untuk menjadi pengamal perubatan yang sebenar.
Ah! kalau mahu dikenangkan kembali banyak benar momen yang menyentuh hati. Apa pun jua semoga dia akan terus bahagia dalam kehidupan ini.
Selamat Ulang Tahun Adikku~
Selamat Mendaftar Sebagai Pengundi.
Dan selamat untuk semuanya.
p/s: Gambar ni aku ambil ketika di rumah Pak Uda, Kampung Melayu Majidee. Usia dia lebih kurang 2 tahun. Ketika ini sedang memujuk dia lalu ditunjukkan kucing tu supaya dia berhenti menangis. =)
nota kaki: di saat orang muda menyambut ulang tahunnya, di kampung halaman pula ada yang meninggalkan kita semua buat selamanya. Semoga arwah Pak Ndak tenang di sana. Al-fatihah...
No comments:
Post a Comment