Malam yang gelap gelita sering dikaitkan dengan pelbagai kejadian mistik lagi menyeramkan. Suasana yang kadang kala boleh membuatkan bulu roma tegak berdiri sungguh mengerikan. Tambahan apabila kita sedang bersendirian di dalam rumah atau pon di luar. Bagi kebanyakkan orang, detik 10.25 malam adalah waktu yang masih lagi santai dan boleh mundar mandir ke mana saja yang dihajati. Bagi aku, detik itu akan terus aku ingati selagi terdaya. Ya, detik itu lebih menyeramkan dari waktu 'puncak' selepas 12 tengah malam mahu pun 3 pagi. Bagi insan yang kerdil, kita dilindung oleh Yang Esa daripada kebolehan melihat segala macam makhluk yang berada di sebalik dunia kita. Ketika ini aku masih lagi berdebar rasa di dada walaupun telah selamat tiba di rumah. Aku dapat merasakan suhu badan ini semakin meningkat bagaikan aku di dalam sauna walaupun kipas angin masih ligat memutarkan bilahnya.
Ingatan buat semua , bagi yang berjiwa lemah, janganlah diteruskan pembacaan yang sedang kamu lakukan. Mungkin apa yang ingin dikongsikan boleh membuatkan kamu tidak lena tidur di malam hari. Mungkin juga kamu akan terus diselubungi misteri yang anda tidak ingin sekali mengalaminya. Cukup sampai di sini. Bagi yang tabah dan kuat semangat, aku ingin sekali berkongsi dengan kamu semua suatu kejadian yang berlaku. Cerita aku tidak menyeronokkan seperti drama comel 'Ponti Anak Remaja' di Astro Ria. Cerita aku agak mengerikan dan juga meloyakan. Jadi aku harap kamu semua dapat memahami apa yang telah aku alami pada detik 1025 malam.
Semuanya bermula dengan hajat hati yang ingin menuju pulang ke tanah seberang lautan pada waktu yang sedikit lewat daripada kebiasaan. Aku ketika itu merancang kerana aku tidak ingin menempuhi kesesakkan yang amat di atas jambatan 'kebanggaan' rakyat tanah 'Mutiara'. Segala pakaian telah dimasukkan ke dalam beg, begitu jua dengan kelengkapan yang lain. Semua selamat disumbat di dalam kerata yang seadanya. Apabila aku siap semua perkara, aku pun memulakan perjalanan. Ketika itu aku dapat merasakan ada sesuatu yang mengganggu jiwa ketika itu. Namun puncanya aku tidak dapat kesan sama sekali. Bertemankan budak comel dan juga 'pemain' cakera padat lagu kegemaran, aku memandu dengan berhati-hati. Memandu di waktu malam menggusarkan aku kerana kadang kala aku keliru dengan keadaan sekeliling.
Selepas 20 minit, tiba-tiba aku dapat rasakan seram sejuk diseluruh tubuhku. Aku tertanya-tanya kenapa keadaan ini terjadi. Adakah aku akan terlihat sesuatu? Ataupun ada sesuatu mengekoriku? Hanya surah suci yang dapat diungkapkan bagi mengelakkan yang tidak diingini. Selepas 5 minit, aku ternampak sesuatu cahaya yang datang dari arah depan. Cahaya dari mata makhluk itu sungguh mengejutkan aku sambil diikuti jeritan budak kecil, "PAK LANG!!!!!!!!!". Kereta kecil aku terasa sedikit berjongket dan aku kaget! Keretaku terus bergerak ke depan kerana aku tidak dapat fikirkan apa-apa. Ketika itu aku terpandang jam yang menunjukkan waktu 1025 malam.
Walaupun kejadian itu sudah 30 minit berlalu, hati ini masih berdebar dan teringatkan kejadian itu. Itu belum lagi rasa loya di tekak yang menjelma (aku tidak mengandung ye kawan-kawan). Bila difikirkan kembali, aku dapat rasakan ini semua bukan salahku. Ketika kejadian itu, semua yang terjadi secara tiba-tiba. Aku dapat rasakan kehadirannya di depan aku dan ia tidak bergerak melainkan matanya yang bercahaya memandang tepat ke mataku! Semua yang terjadi tidak dapat dielakkan. Mungkin itu takdirnya. Maafkan aku wahai si kucing hitam. Walaupun rasa bersalah bersarang di dada, kepala aku terus ligat memikirkan di mana hendak aku cuci keretaku. Tak sanggup aku melihat bahan bukti yang mungkin tersisa di bawah kereta. Selepas kejadian itu, aku terus tutup tingkap kereta dan hidupkan penghawa dingin. Jika terus dibiarkan tingkap terbuka, hidung aku suka mereka aneka bau yang menjijikkan. Dan ketika itu juga misteri debar di dada terurai apabila aku teringatkan bekas makanan (Tupperware) kesayangan bonda di atas meja. Harus aku dengar syarahan kuliah subuh bonda pagi nanti. Erm....tabahlah menghadapi semuanya wahai hati.
No comments:
Post a Comment